40 Hektar Hutan Gambut di Kawasan Perindustrian Gebeng Terbakar

0
521

Akibat tindakan sekumpulan pemancing meninggalkan punca kebakaran berkemungkinan besar puntung rokok atau unggun api, hutan gambut seluas kira-kira 40 hektar di Kawasan Perindustrian Gebeng, dekat sini terbakar.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang serta Gebeng Emergency Mutual Aid (GEMA) sedang giat berusaha untuk memadam kebakaran bermula kira-kira jam 2 petang semalam itu.
Sebuah panggilan diterima pihak bomba pada jam 2.28 petang semalam memaklumkan kebakaran di hutan gambut di Kawasan Perindustrian Gebeng seluas 101 hektar kata Pengarah JBPM Pahang, Nor Hisham Mohamad.

tag

Menurut maklumat awal kebakaran dipercayai akibat aktiviti memancing kerana ada beberapa pemancing dilihat keluar dari kawasan hutan yang terbakar berhampiran sebuah tasik.

“Setakat ini 40 hektar daripada 101 hektar kawasan terbakar, operasi kita tertumpu kepada tiga kaedah utama iaitu membina saliran dan takungan bagi mengalirkan air untuk meningkatkan paras air supaya ia sama paras dengan tanah.

“Usaha memadam kebakaran giat dilakukan bagi mengelak api merebak ke kawasan berhampiran dan menyebabkan keadaan berasap sekali gus mengehadkan tahap penglihatan pemandu di sekitar daerah ini.

“Kita turut meletakkan anggota berhampiran Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan bagi mengelakkan api melarat ke Taman Perindustrian Malaysia China Kuantan (MCKIP) dan menyebabkan keadaan panas kepada pengguna jalan raya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Nor Hisham berkata, seramai 21 anggota bomba dibantu 14 anggota bantuan daripada pihak industri di Kawasan Perindustrian Gebeng membantu memadam dan mengawal kebakaran termasuk meminjam kemudahannya untuk melancarkan operasi.

“Kita mempunyai dua jentera selain dibantu jentera dari Lynas (Corporation Ltd) dan PETRONAS Chemicals MTBE dan mendapat bantuan pihak industri yang menyediakan dron untuk meninjau keadaan semasa kebakaran. Kita turut memantau pergerakan angin sejak awal pagi tadi.

Akibat dari kebakaran ini juga, beliau menasihatkan orang ramai terutama di sekitar Pusat Perindustrian Gebeng supaya mengambil langkah berjaga-jaga antaranya minum air dengan banyak bagi mengelakkan hidrasi. Orang ramai juga tidak digalakkan melakukan pembakaran terbuka pada musim panas yang boleh menyebabkan kejadian kebakaran di tempat terbuka sehingga memberi kesan kepada jarak penglihatan. Diharapkan pihak yang suka membuat pembakaran terbuka menghayati saranan pihak berkuasa agar tidak semberono menyalakan api tanpa sebab yang munasabah kerana perbuatan sedemikian boleh menyebabkan jerebu dan peningkatan suhu panas.

“Mengikut rekod sejak minggu lalu, trend kebakaran mula meningkat dengan 24 laporan diterima pada Sabtu lalu, manakala Ahad (20) dan semalam pula 19 laporan.

“Ada tiga lokasi berlaku kebakaran skala besar iaitu di sini, ladang di Muadzam Shah, Rompin membabitkan hutan seluas lapan hektar dan laluan di Nenasi, Pekan,” katanya.

Kepada semua juga di harapkan agar tidak membuang puntung api seperti rokok ke dalam hutan atau bahan mudah terbakar untuk mengelakkan kejadian tidak diingini terjadi.

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi negeripahang.com