Asal usul Dan Sejarah Bandar Pekan

0
2098

SEJARAH Pekan bermula apabila bandar tersebut dijadikan tempat kediaman keluarga diraja dan dianggap ibu negeri Pahang seawal abad ke-13.

Menurut Pengarah Lembaga Muzium Negeri Pahang (LMNP), Datuk Ahmad Farid Abdul Jalal, terdapat pelbagai pandangan dan pendapat berhubung asal usul nama bandar tersebut dan salah satunya terdapat cerita yang mengaitkan Pekan dengan sejenis bunga yang banyak tumbuh di tebing-tebing sungai Pahang.

Selain itu, berdasarkan penulisan Buyong Adil di dalam bukunya bertajuk Sejarah Pahang, masyarakat Hindu asli pada suatu ketika dahulu memberikan gelaran ‘Pura’ kepada daerah itu yang bermaksud bandar atsau pekan di dalam bahasa Melayu.

“Perkataan Pura diambil dari singkatan perkataan ‘inderapura’ iaitu nama lama bagi negeri Pahang sebelum di bawah kuasa Kesultanan Melayu Melaka kerana pada ketika itu Pekan menjadi ibu negeri Pahang. Sejarah ini berdasarkan karya Tun Sri Lanang iaitu Sejarah Melayu yang menyebut Pekan sebagai ‘Pura’.

“Pendapat lain pula menyatakan Pekan berasal daripada maksud perkataan bandar, pasar atau tempat aktiviti berjual beli dilakukan bertepatan dengan gambaran yang diberikan pegawai Inggeris, J. P. Rodger berhubung bandar Pekan yang wujud pada 1888,” katanya.

Pekan pada asalnya adalah sebuah kawasan yang begitu luas bagaimanapun, masyarakat Siam yang datang untuk membuka tanah paya di Padang Sesiur (Padang Polo) telah membina sebatang parit (Sungai Parit) yang akhirnya memisahkan kawasan Pekan kepada dua bahagian iaitu Pekan Lama dan Pekan Baharu.
“Pekan Lama pada 1607 dikenali sebagai kawasan kediaman khusus untuk golongan bangsawan Melayu sementara Pekan Baharu pula merupakan Kampung Cina yang terdiri daripada kawasan tempat tinggal rakyat jelata,” katanya.

Meskipun pada zaman penjajahan ketika J. P. Rodger dilantik sebagai Residen Inggeris pertama di Pahang pada 1888, Pekan masih kekal menjadi ibu negeri pada ketika itu.
Bagaimanapun, kira-kira tiga tahun kemudian status ibu negeri yang dimiliki bandar Pekan kemudian dipindahkan oleh pihak Inggeris ke Kuala Lipis.

Kuala Lipis selepas itu menjadi pusat pentadbiran Pahang sementara Pekan disebut sebagai Bandar Diraja Pahang.
Pada mulanya rancangan pemindahan pusat pentadbiran dari Pekan ke Kuala Lipis dibuat hanya sementara namun memakan masa lebih 64 tahun sebelum pusat pentadbiran negeri Pahang dipindahkan ke Kuantan pada 1955.

Meskipun tarikh pengikhtirafan Pekan sebagai bandar diraja tidak dapat dikenal pasti secara tepat namun sejak awal lagi daerah tersebut dianggap sebagai bandar diraja.

Credit : Utusan Malaysia

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi negeripahang.com