Asal usul Dan Sejarah Pulau Tioman

0
25346

Pulau Tioman sememangnya terkenal sebagai antara pulau peranginan terkemuka di negeri ini. Pulau Tioman terletak di tengah-tengah lautan china selatan dan merupakan sebuah pulau yang terletak di Rompin. Pulau Tioman memiliki keluasan 39 km panjang dan 19 km lebar dengan koordinat U 2º 46’, T 104º 07’. Pulau Tioman terkenal dengan keindahan flora dan fauna dan pernah dinobatkan sebagai pulau ke-10 tercantik di dunia. Ia juga merupakan sebuah pulau yang terkenal di kalangan penggemar aktiviti selam skuba dan snorkeling kerana air lautnya yang jernih dan belum tercemar selain memiliki ekosistem hidupan laut yang pelbagai. Pulau Tioman juga merupakan sebuah pulau bebas cukai.

Bentuk Pulau Tioman ini jika diamati dan dilihat daripada arah laut ianya tidak ubah bagaikan seekor naga yang mempunyai tanduknya. Menurut mitos dan kisah dongeng yang dipercayai penduduk tempatan, Tioman berasal dari sepasang naga. Pada zaman dahulu kala, sepasang naga suami isteri (naga jantan dan naga betina) meninggalkan Tasik Chini ke laut melalui Sungai Pahang. Dalam perjalanan, naga ini tertinggal kain cindai lalu berpatah balik. Malangnya, waktu itu ayam telah berkokok. Naga ini pantang mendengar ayam berkokok. Oleh sebab melanggar pantang, naga betina bertukar menjadi pulau. Sementara naga jantan bertukar mrenjadi Gunung Nenek Semukut iaitu sebuah gunung yang terdapat di Pulau Tioman.

Asal usul dan sejarah Pulau Tioman dapat disorot hingga ke tahun 1917, sewaktu Sultan Abdul Jalil melawat pulau itu dan pulau-pulau yang berdekatan dengannya. Ketika itu Pulau Tioman terletak dibawah pemerintahan negeri Johor. Kebanyakan tempat di pulau itu samada didiami oleh nelayan atau dijadikan tempat persembunyian oleh lanun.

Mengikut sejarah Negeri Pahang, pada tahun 1802 Bendahara Tun Muhammad ingin ke Pulau Tioman sekembalinya dari lawatan ke pulau-pulau lain. Dalam perjalanan itu perahunya telah dilanda ribut dan karam. Baginda mangkat dilaut. Berikutan kejadian itu baginda dikenali dengan panggilan ‘Marhum Mangkat Di Laut’.

Pada 1 September 1868, Temenggong Abu Bakar Johor bersetuju menyerahkan Pulau Tioman kepada Pahang dibawah pemerintahan Wan Ahmad. Menurut perjanjian itu beberapa pulau lain juga diserahkan kepada Pahang. Perjanjian itu disaksikan oleh Gabenor British ketika itu, Sir Harry Ord.

Asal usul Dan Sejarah Pulau Tioman 1
Menurut cerita orang tua-tua, Pulau Tioman wujud daripada seekor naga. Pada zaman dahulu di Tasik Cini tinggal sepasang naga jantan dan betina yang dikatakan suami isteri. Suatu ketika, hujan turun dengan lebatnya tanpa henti-henti. Akibatnya Tasik Cini kebanjiran. Airnya berarus deras.

Apabila malam tiba, naga-naga itu sudah tidak tahu lagi kedudukan sempadan tasik itu. Dalam keadaan kilat dan guruh sabung-menyabung, dua naga itu telah hanyut ke hilir Sungai Pahang. Orang-orang tua mengatakan naga-naga itulah yang membuat lorong baru di Kuala Pahang. Sebelum itu air Sungai Pahang hanya mengalir melalui Sungai Pahang Tua.

Kedua-dua naga itu terus menghilir Sungai Pahang dan akhirnya sampai ke Laut Cina Selatan. Setelah beberapa lama berenang dilaut itu, naga betina teringat yang dia terlupa membawa kain cindainya. Maka dia memberitahu suaminya bahawa dia ingin pulang untuk mengambil kainnya itu. Dia menyuruh suaminya menunggu disitu sehingga dia kembali. Naga betina itu berpatah balik ke Tasik Cini.

Naga jantan itu tekun menunggu kepulangan isterinya ke laut. Akan tetapi isterinya tidak tiba-tiba. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanannya kearah selatan.

Setelah naga betina itu mengambil kain cindainya, dia terus menghilir sungai dan masuk ke Laut Cina Selatan mengikut arah perjalanan suaminya. Apabila sampai ketempat yang dijanjikan dia mendapati suaminya sudah tiada. Naga betina itu berusaha untuk mencari suaminya. Ketika dia berenang berdekatan sebuah pulau yang sekarang dipanggil Bukit Datuk dekat Juara, kain cindainya tersangkut pada batu.

Ketika naga betina itu cuba untuk melepaskan diri, ayam jantan yang berada diatas belakangnya berkokok untuk menandakan hari akan siang. Naga betina itu mesti berhenti apabila hari siang kerana mematuhi resam naga. Seterusnya naga betina itu mengambil keputusan untuk menetap disitu sahaja. Dia tidak berhajat untuk terus mencari suaminya yang sudah menghilang itu. Lama kelamaan naga betina itu bertukar menjadi pulau yang sekarang dikenali sebagai Pulau Tioman.

Dalam pada itu, suaminya yang sudah berada jauh dihadapan juga terpaksa berhenti apabila matahari hampir terbit atau ‘naik’. Dia juga tidak mahu melanggar adat. Seterusnya dia mengambil keputusan untuk menetap dipersinggahannya itu. Lama kelamaan dia juga bertukar menjadi pulau, iaitu Pulau Daik.

Asal usul Dan Sejarah Pulau Tioman 2
Mengikut kisah lain pula, di Pulau Tioman dahulu ada ada seorang tua yang tidak mempunyai apa-apa pekerjaan selain daripada bermain dengan burung tiung peliharaannya. Dia sangat sayang akan burung tiung itu kerana suaranya begitu merdu. Sebaik sahaja dia bangun dari tidur, orang tua itu akan menjenguk burungnya.

Burung itu juga menarik perhatian penduduk tempatan kerana kemerduan suaranya serta kebolehannya mengucapkan beberapa patah perkataan. Tiap-tiap petang mereka berkunjung ke rumah Pak Tua untuk mendengar suara burung itu.

Suatu hari, seperti biasa orang tua itu pergi menjenguk burung tiungnya sebaik sahaja dia bangun dari tidurnya. Orang tua itu terperanjat besar apabila mendapati burung tiung kesayangannya itu sudah tiada didalam sangkar. Orang tua itu sangat sedih.

Pada sebelah petang hari itu, seperti biasa orang datang untuk mendengar suara burung Pak Tua. Apabila melihat sangkarnya kosong, mereka terus bertanya kepada Pak Tua, “Kemana perginya burung itu pakcik?”

Dengan sayu dia menjawab, ” Tiung man sudah mati.”

Itulah jawapan orang tua itu setiap kali dia ditanya berkenaan dengan burung tiungnya itu. ‘Man’ dalam loghat daerah pulau itu bermaksud ‘Saya’.

Sejak peristiwa itu pulau tersebut terus dikenali sebagai Pulau Tiongman. ‘Tiong’ adalah ejaan lama bagi ‘Tiung’. Kemudian Tiongman diringkaskan pula menjadi Tioman. Nama itu kekal hingga ke hari ini.

Asal usul Dan Sejarah Pulau Tioman 3
Menurut cerita lain dari orang yang mendiami Pulau Tioman, nama Pulau Tioman sebenarnya berasal dari burung ‘Tiong’. Kisah ini bermula apabila sekumpulan pedagang dari tanah besar yang belayar dan singgah di Tioman, lalu mereka naik ke daratan dan ternampak sepasang burung tiong. Lalu mereka bertanya kepada penduduk di situ, “siapakah empunya burung tiong ini?”. Seorang penduduk tempatan tampil dan berkata, “itu burung tiong man”. “Man” adalah perkataan orang Tioman yang membawa maksud “saya”. Maka pedagang itu pun menamakan pulau ini sebagai Tioman kerana ketika itu pulau tersebut masih belum mempunyai nama. Maka nama Tioman kekal sehingga hari ini.

Di Pulau Tioman dijumpai beberapa kesan sejarah. Antaranya Makam Syekh di Juara, Batu Nenek Si Mukut, Cula Naga, Batu Carut dan Batu Kambing. Kini Pulau Tioman terus maju sebagai pusat pelancongan yang terkenal bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di serata dunia.

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi negeripahang.com