Asal Usul Nama Bentong

0
589

Bentong adalah sebuah daerah di Negeri Pahang. Daerah ini bersempadan dengan Negeri Selangor di sebelah barat dan Negeri Sembilan di sebelah selatan. Bentong merupakan laluan utama perjalanan dari Kuala Lumpur ke negeri Kelantan.

Mengikut cerita lama, nama Bentong dahulunya dikenali sebagai Kapong. Pada waktu itu, Bentong berpusat di sekitar kawasan pasar iaitu di pertemuan antara Sungai Repas dan Sungai Perting. Ia mula menjadi pusat tumpuan apabila bijih timah ditemui di kedua-dua sungai tersebut.

Pelombong-pelombong bijih timah telah membina satu ban untuk melombong bijih timah bagi mendapat hasil yang lebih menguntungkan. Peristiwa ini telah menjadi bualan orang luar dan mereka telah menamakannya sebagai “Ban Untung” (ban yang menguntungkan). Perkataan “Ban Untung” menjadi lebih dikenali oleh orang ramai berbanding dengan Kapong. Lama-kelamaan perkataan “Ban Untung” bertukar menjadi Bentong.

Dari cerita lain yang ditulis oleh Pak Zek (Allahyarham Dato’ Zakaria Hitam, seorang Budayawan Pahang), perkataan Bentong berasal daripada perkataan Bapong yang bermaksud timbul.

Bentong pernah dijadikan kubu oleh Dato’ Bahaman. Tentera British telah menghantar askar Gurkha untuk menewaskan Dato’ Bahaman dan menawan tempat tersebut. Bagaimanapun, sejumlah besar askar-askar Gurkha tersebut telah terbunuh hasil serangan hendap yang dilakukan oleh Dato’ Bahaman dan orang-orangnya.

Mayat-mayat askar Gurkha tersebut telah dihumban ke dalam sungai dan mayat-mayat tersebut timbul di permukaan air. Berikutan insiden inilah, kawasan tersebut dikenali sebagai Bapong, dan kemudiannya dikenali sebagai Bentong. Tarikh sebenar nama tersebut ditukar adalah dicatitkan pada 31hb Ogos 1957.

Daerah Bentong terletak dibawah pentadbiran Majlis Perbandaran Bentong dan terbahagi kepada 3 mukim iaitu Mukim Bentong, Mukim Sabai dan Mukim Pelangai. Selain dari Bandar Bentong, terdapat beberapa pekan lain yang menjadi tumpuan penduduk seperti di Karak, Bukit Tinggi, Telemong dan Simpang Pelangai.

Di daerah Bentong juga terdapat tempat menarik seperti Air Terjun Camang. Juga pusat peranginan tanah tinggi yang terkenal bukan sahaja di Malaysia, bahkan di seluruh Asia iaitu Genting Highland.

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi negeripahang.com