Asal Usul Nama Keratong

0
9735

Bandar Keratong merupakan sebuah kawasan felda yang terletak di Bandar Tun Abdul Razak. Bandar Tun Abdul Razak dan Bandar Tun Razak adalah 2 buah tempat berbeza. Mohon tidak keliru ye. Bandar Tun Abdul Razak dikelilingi kawasan FELDA. Pada permulaannya, terdapat 2500 keluarga tinggal di kawasan FELDA, kebanyakannya kaum Melayu dan terdapat sejumlah kecil bagi kaum India, Cina, dan Orang Asli. Terdapat sebelas kawasan FELDA di Bandar Tun Abdul Razak yang melibatkan, Felda Keratong 1, Felda Keratong 2, Felda Keratong 3, Felda Keratong 4 dan Felda Keratong 5. Juga Felda Keratong 6, Keratong 7, Keratong 8, Keratong 9, Keratong 10 dan Keratong 11.

Ramai peneroka tanah di Keratong yang cuma mengetahui bahawa nama kawasan mereka itu diambil daripada nama sungai iaitu Sungai Keratong. Akan tetapi, berbeza bagi penduduk asal daerah itu seperti penduduk Kampung Meripoh dan Kampung Lubuk Batu dimana asal nama Keratong mempunyai sebuah cerita yang menarik.

Menurut penduduk asal, nama Keratong timbul dari dua buah cerita berasingan.

Cerita Pertama
Kawasan sekitar Keratong dahulu merupakan sebuah hutan belantara yang terpencil. Ketika itu penduduk kampung sering diancam oleh binatang buas. Untuk menjamin keselamatan dan memudahkan perhubungan, mereka membuat sebuah perkampungan di tepi sebatang sungai yang ketika itu belum ada nama. Ikan dari sungai tersebut dijadikan lauk. Manakala pucuk paku dan rebung yang mudah didapati di tebingnya pula dijadikan sayur. Mereka hidup dengan bercucuk tanam dan berburu binatang liar.

Untuk mendapatkan barang-barang keperluan yang lain seperti garam, gula dan pakaian, mereka berperahu menghilir Sungai Keratong dan kemudian Sungai Rompin hingga ke kualanya. Biasanya perjalanan mereka ke Kuala Rompin itu memakan masa seminggu. Di sana mereka menjual hasil hutan seperti damar dan rotan untuk mendapatkan wang.

Hasil tanaman di kampung mereka sangat memuaskan. Malangnya kebun mereka sering dimusnahkan oleh kera dan lotong. Mereka cuba untuk menghapuskan kera dan lotong itu tetapi tidak berhasil. Malah bilangan haiwan perosak itu bertambah besar. Mereka tidak pernah melihat kera dan lotong yang sebegitu banyak.

Kadang-kadang kera dan lotong tersebut datang ke rumah mereka untuk mencari makanan. Mereka juga sering melihat kera dan lotong tersebut bermain-main di dahan kayu dan gigi air di sepanjang sungai itu. Lantaran itu, mereka menyebut sungai tersebut sebagai Sungai Keralotong. Lama-kelamaan sebutan ‘Keralotong’ itu diringkaskan kepada ‘Keratong’ sahaja. Sebutan itu kekal hingga ke hari ini.

Cerita Kedua
Cerita kedua juga ada kaitan dengan kera. Setelah sekian lama orang kampung terpaksa berulang alik ke Kuala Rompin untuk mendapatkan barang keperluan mereka, akhirnya tibalah di situ seorang tauke Cina bernama Ah Tong. Dia datang ke situ sebulan sekali membeli hasil hutan dan menjual barang-barang keperluan.

Penduduk di situ menunggu kedatangan Ah Tong di tepi sungai. Mereka boleh menjual hasil hutan yang didapatai ataupun menukarkannya dengan barang-barang keperluan lain seperti kain baju.

Biasanya apabila Ah Tong mudik, dia membawa seekor kera yang ditempatkan di hadapan perahunya. Ah Tong menambat keranya dengan rantai kerana kera itu garang. Dengan adanya kera itu, orang tidak berani mengambil barang dari perahu Ah Tong walaupun ketika dia tidak ada dalam perahunya.

Suatu ketika, semasa Ah Tong sedang menjaja barang-barangnya di dalam kampung, sekumpulan orang dewasa dan kanak-kanak telah menghampiri perahunya. Mereka tidak berniat untuk mencuri, tetapi sekadar untuk melihat barang-barang yang dibawa oleh Ah Tong. Apabila mereka sudah berada benar-benar dekat dengan perahu itu, kera yang garang itu tiba-tiba melompat dengan mulutnya ternganga luas seperti hendak menggigit.

Orang kampung tidak takut dan meneruskan untuk melihat barang yang dibawa Ah Tong kerana mereka tahu kera itu sudah dirantaikan. Akan tetapi, oleh kerana terlalu ramai yang mengerumuninya, kera itu bertambah garang dan tidak henti-henti melompat dan menjerit. Tiba-tiba rantai penambat kera itu terputus. Ini mengakibatkan orang ramai pun lari bertempiaran kerana takut digigit dan diterkam kera tersebut.

Sambil berlari mereka berteriak: “Jaga.. jaga..! Kera Ah Tong telepas! Jaga.. Kera Ah Tong terlepas!”

Apabila mendengar orang ramai menjerit dan bertempiaran lari, kera yang terlepas itu melarikan diri ke arah hutan dan hilang tanpa dapat dikesan. Sejak peristiwa itu, penduduk mengelarkan kawasan itu kawasan ‘Kera Ah Tong’. Akhirnya namanya bertukar menjadi Keratong.

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi negeripahang.com