Asal Usul Nama Bandar Pekan, Pahang

0
1102

Pekan merupakan sebuah bandar diraja negeri Pahang. Bandar Pekan dikatakan telah wujud sejak abad ke 17. Pekan juga pernah menjadi ibu negeri Pahang pada tahun 1889 sehingga tahun 1998.

Berdasarkan penulisan Buyong Adil di dalam bukunya yang bertajuk Sejarah Pahang, masyarakat Hindu asli pada suatu ketika dahulu memberikan gelaran ‘Pura’ kepada daerah itu yang bermaksud bandar atau pekan di dalam bahasa Melayu.

Perkataan Pura diambil dari singkatan perkataan ‘inderapura’ iaitu nama lama bagi negeri Pahang sebelum di bawah kuasa Kesultanan Melayu Melaka kerana pada ketika itu Pekan menjadi ibu negeri Pahang. Sejarah ini berdasarkan karya Tun Sri Lanang iaitu Sejarah Melayu yang menyebut Pekan sebagai ‘Pura’.

Mengikut cerita orang tua-tua, bandar Pekan mendapat nama daripada sejenis bunga yang dipanggil bunga pekan. Pokok bunga pekan ini banyak tumbuh di tebing sungai. Mengikut cerita orang tua-tua, bahawa sepanjang Sungai Pahang di daerah ini ditumbuhi oleh bunga pekan. Maka pemerintah pada masa tersebut memberikan nama kawasan itu sebagai Pekan bersempena dengan nama bunga tersebut.

Pendapat lain pula menyatakan Pekan berasal daripada maksud perkataan bandar, pasar atau tempat aktiviti berjual beli dilakukan bertepatan dengan gambaran yang diberikan pegawai Inggeris, J. P. Rodger berhubung bandar Pekan yang wujud pada 1888.

Pada zaman dahulu, masyarakat sekitar sering menjadikan tebing Sungai Pahang sebagai sebuah penempatan. Maka segala jenis urusan jual beli dilakukan di kawasan tebing tersebut. Oleh itu tidak hairanlah sehingga ke hari ini kita masih lagi menggelarkan pasar berjual beli sebagai Pekan Sehari.

Walaupun terdapat kemasukan unsur-unsur moden di kawasan bandar Pekan, namun Pekan tetap boleh dilihat dan dirasai sebagai sebuah bandar tradisi yang tenang dan aman dengan suasana alam sekitar yang mempersonakan. Tambahan pula dengan penduduknya yang ramah menantikan kedatangan pengunjung.

Meskipun tarikh pengikhtirafan Pekan sebagai bandar diraja tidak dapat dikenal pasti secara tepat namun sejak awal lagi daerah tersebut dianggap sebagai bandar diraja.

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi negeripahang.com