Pada tahun 1888, Sultan Pahang ketika itu iaitu Sultan Ahmad di dalam keadaan serba salah telah terpaksa menandatangani sepucuk surat meminta Inggeris memberi perlindungan ke atas Negeri Pahang seperti mana Inggeris memberi perlindungan ke atas Negeri Perak, Selangor dan Sungai Ujong. Akibat dari surat ini maka bermulalah campur tangan Inggeris di Pahang. Residen Inggeris yang pertama di Negeri Pahang iaitu John P. Rodger telah dilantik.
Kekayaan hasil bumi Pahang ketika itu telah menarik minat penjajah Inggeris, tetapi Inggeris telah beberapa kali gagal dalam usahanya untuk menakluki negeri itu. Pada tahun 1885 Frank Swettenham telah diutuskan oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat untuk mengadakan perjanjian dengan Sultan Ahmad, tetapi gagal.
Hugh Clifford pula telah diutuskan pada tahun 1887 untuk mengikat Perjanjian Pertahanan tetapi telah juga ditolak oleh Sultan Ahmad. Akhirnya Sir Frederick Weld, Gabenor Negeri-Negeri Selat sendiri telah pergi ke Pahang dan mengadap Sultan Ahmad dan telah mendesak baginda menandatangani perjanjian dengan Inggeris.
Sultan Ahmad yang telah dipengaruhi oleh Sultan Johor, Sultan Abu Bakar, akhirnya terpaksa menandatangani perjanjian menerima seorang wakil Inggeris di negeri Pahang. Walaubagaimanapun pihak Inggeris masih belum puas hati terhadap penglibatannya dalam negeri Pahang.
Kemuncak pada permulaan campur tangan Inggeris di Negeri Pahang adalah pada bulan Februari 1888. Ketika itu telah berlaku satu peristiwa yang tidak disangka-sangka berhampiran dengan istana di Pekan iaitu pembunuhan ke atas Goh Hui, seorang berbangsa Cina. Pihak Inggeris telah memberikan perhatian yang sungguh serius terhadap peristiwa ini dan mendakwa bahawa mangsa pembunuhan itu adalah seorang rakyat Inggeris. Akibat dari pembunuhan itu pihak Inggeris telah menuntut ganti rugi dan mendakwa Sultan Ahmad bertanggungjawab di atas pembunuhannya.
Inggeris juga telah meminta supaya wakil Inggeris di Pahang dinaikkan tarafnya sebagai Residen untuk menjaga dan menjamin keselamatan rakyat Inggeris di Pahang. Tuntutan-tuntutan ini dibuat sendiri oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat ketika itu iaitu Cecil Smith yang datang bersama-sama dengan Frank Swettenham dan Pickering ke Pahang pada bulan Jun 1888.
Sultan Ahmad telah diberi tempoh selama 10 hari oleh Cecil Smith untuk memberi kata putus samada tuntutan tersebut dipenuhai ataupun tidak. Pada masa yang sama juga pihak Inggeris telah meminta jasa baik Sultan Johor ketika itu iaitu Sultan Abu Bakar supaya turut campur tangan di atas perselisihan ini.
Sultan Abu Bakar sendiri telah berangkat ke Negeri Pahang untuk mengadap Sultan Ahmad. Sultan Abu Bakar menasihatkan Sultan Ahmad supaya menerima Residen Inggeris dan memberitahu bahawa untuk berperang dengan Inggeris adalah merupakan pekerjaan yang sia-sia saja.
Sebelum keputusan tersebut dibuat, Sultan Ahmad mendapatkan pandangan dari pembesar-pembesar baginda sebelum membuat keputusan. Pembesar-pembesar Pahang seperti Datuk Bahaman, Maharaja Perba Jelai, Datuk Kaya Chenor, Imam Perang Indera Gajah telah meminta Sultan Ahmad supaya menolak permintaan Inggeris dan mereka bersedia untuk berperang dengan Inggeris.
Baca juga : Faktor-Faktor Penentangan Dato’ Bahaman
Akhirnya, dalam keadaan yang serba salah pada tarikh 24 Ogos dalam tahun 1888 Sultan Ahmad terpaksa menandatangani sepucuk surat menerima perlindungan dan bantuan Inggeris di dalam urusan pentadbiran dan menjalankan sistem yang sama ke atas negeri Pahang seperti mana yang telah dijalankan ke atas negeri-negeri Melayu yang lain iaitu Negeri Perak, Selangor dan Sungai Ujong.
Sultan Ahmad juga telah terpaksa mengakui bertanggungjawab ke atas pembunuhan Goh Hui. Dengan surat ini bermakna negeri Pahang terpaksa menerima seorang Residen Inggeris.
Pada bulan Oktober, 1888, John Pickersgill Rodger telah dilantik menjadi Residen Inggeris yang pertama di negeri Pahang dan bermulalah campur tangan Inggeris di Pahang secara langsung di dalam hal-hal pentadbiran, politik dan ekonomi negeri Pahang. Inggeris mengekalkan jawatan Sultan Ahmad dengan membataskan bidang tugas baginda hanya dalam hal ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu sahaja. Sultan Ahmad dibayar elaun bulanan serta diberi pelbagai kemudahan. Akibat dari peristiwa ini menyebabkan permulaan kepada penentangan pembesar-pembesar di Pahang ke atas pihak Inggeris.
Sumber : Arkib Negara Malaysia