Cubaan Penuh Helah British Bertapak di Kesultanan Pahang (1883 – 1888)

0
1151

Petikan dari Journal

“1883 Weld menyiasat secara rahsia kematian Syed Salim bin Bakil, seorang Arab dan juga rakyat British yang khabar angin mengatakan beliau mati diracun di Pahang. Weld cuba melobi Setiausaha Kolonial menggunakan kematian Syed Salim sebagai alasan untuk campurtangan di Pahang secara kekerasan.

Bagaimanapun, cadangan ini ditolak oleh Pejabat Kolonial menyebabkan Weld terpaksa menangguhkan rancangannya buat sementara waktu.” – (Weld to Secretary of State, 22 December 1883, CO 273/123)

“1884, apabila Engku Muda Wan Mansur, adik kepada Bendahara Wan Ahmad menulis surat kepada W.H.M Read, seorang yang berpengaruh di Singapura meminta Sir Cecil Clementi Smith, Gabenor Brititish di Singapura membantu menyelesaikan perbalahannya dengan abangnya iaitu Bendahara Wan Ahmad.

Antara masalah Engku Muda ialah beliau tidak berpuashati dengan jawatan dan elaun beliau. Smith dan pegawai-pegawai British di Singapura merancang menggunakan Wan Mansur sebagai kunci untuk campurtangan di Pahang. Atas desakan British, Bendahara Wan Ahmad bersetuju memberikan Wan Mansur jawatan Raja Muda semula dan memberikan elaun sebanyak $200 sebulan, kadar yang ditentukan oleh Cecil Smith.” – (Linehan, A History of Pahang, JMBRAS.hlm. 106.).

“Mei 1885 Frank Swettenham telah memasuki Pahang melalui jalan darat dari Perak dengan misi menyelesaikan perbalahan Wan Ahmad dan adiknya Wan Mansur serta perbalahan sempadan Pahang-Jelebu. Swettenham telah dihantar oleh Cecil Clementi Smith yang menjangkakan usaha berbaik dengan pembesar Pahang lebih berpeluang membawa campurtangan mereka di negeri ini.

Angota rombongan Swettenham telah menggunakan jalan menyeberang dari Batu Gajah, Perak dan menuruni Lipis, Jelai dan Sungai Pahang menuju ke Pekan. Swettenham adalah merupakan pegawai British yang pertama menjelajah melalui pendalaman Pahang dan pengembaraannya ini telah dicatat dan diterbitkan pada tahun yang sama. “- (Frank A Swettenham, 1885, “Journal kept during a Journey across the Malay Peninsula”, Journal of Straits Branch, Royal Asiatic Society (JSBRAS), No 15, hlm. 1-38.)

“31 Mei 1886, Weld bersama satu rombongan besar bersama-sama Hugh Low, Residen Perak; John Rodger, Pemangku Residen Selangor dan Hugh Clifford, (anak saudara Weld); Martin Lister, pegawai di Negeri Sembilan; Raja Idris (Raja Bendahara Perak), ketua hakim Perak dan lain-lain pergi ke Pahang melalui Singapura.

Kesungguhan Weld untuk bertemu Bendahara Wan Ahmad ada kaitan dengan khabar angin yang mengatakan rombongan kerajaan Perancis telah melawat Pahang dan megambil beberapa surat daripada Bendahara dan pembesar-pembesar tempatan. Walaupun ditekan oleh Weld, namun akhirnya Bendahara Wan Ahmad masih enggan mengadakan sebarang bentuk perjanjian bertulis dengan pihak British.” ….

“13 Januari 1887, Weld menghantar Hugh Clifford, yang ketika itu berusia 20 tahun memasuki Ulu Pahang dari Selangor dan mengikuti laluan yang sama digunakan oleh Swettenham. Selepas beberapa minggu menunggu, Clifford berjaya mendapatkan. perjanjian dengan Bendahara Wan Ahmad (yang kemudiannya dipanggil Sultan Ahmad) untuk menerima kehadiran seorang Residen British.

Kejayaan Clifford adalah disebabkan campurtangan Menteri Besar Johor dan Syed Alsagoff atas perintah Sultan Johor menasihatkan Bendahara supaya bersetuju mengadakan perjanjian dengan British. Persetujuan ini adalah berasaskan kepada perkembangan sebelum ini iaitu pada bulan April 1886, Sultan Johor yang berpengaruh di Pahang memaklumkan Pejabat Kolonial bahawa Bendahara Wan Ahmad bersedia mengadakan perjanjian dengan Britain “…..

“1888 merupakan titik tamatnya era sistem tradisional Pahang dan bermula 1889 Pahang ditadbir secara sistematik mengikut kaedah pentadbiran British. Menjelang 1889, sistem pentadbiran British telah dibentuk di Pahang melalui penempatan Residen British yang pertama iaitu J.P. Rodger. Beliau disokong oleh 15 orang pegawai-pegawai Eropah.

Sultan dan pembesar-pembesar tempatan telah dilantik di dalam Majlis Negeri dan diberikan elaun tetap dan pihak British diberikan kuasa mengutip cukai dan mengadakan pentadbiran awam di Pahang.” – (Jebat: Malaysian Journal of History, Politics, & Strategic Studies, Vol. 37 (2010): 105 – 121).

Ulasan

Hampir 5 tahun British mengunakan pelbagai helah bagi membolehkan bertapak dan mencampuri secara langsung pentadbiran dalam Kesultanan Pahang. Namun Bendahara Wan Ahmad bijak menafikan dengan pelbagai alasan bagi melengah-lengahkannya.

1888 Residen British secara rasmi bertapak di Kesultanan Pahang. Kejayaan British ini mewujudkan pembentukan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (Malay Federated States (FMS) yang terdiri Perak,Selangor Sungai Ujong (Negri Sembilan) dan Pahang.

Perkongsian beberapa petikan ini sekadar memberikan gambaran awal bagaimana penglibatan serta usaha British bertapak di Kesultanan Pahang. Bagi mengikuti dengan lebih Lanjut boleh baca dalam journal” A History of Pahang”. Linehan, W. 1936, JMBRAS. Vol. 14 (2).

Rujukan :
1.British Malaya Pahang House Postcard -Picclicks
2.Pahang Sekitar Abad Ke 19 Menurut Pandangan Pegawai-Pegawai British: Jebat: Malaysian Journal of History, Politics, & Strategic Studies, Vol. 37 (2010): 105 – 121

Credit : Izmal Archivist Tranung

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi negeripahang.com