Dato’ Aripin Said, Pengelola Lagu Rakyat Melayu

0
3906

PENGHIDUP LAGU RAKYAT MELAYU – DATO’ ARIPIN SAID

Lagu rakyat merupakan cermin sesebuah bangsa. Ini kerana ilham terciptanya lagu rakyat adalah menerusi pemerhatian terhadap kejadian alam, tabiat haiwan, serta cara hidup masyarakat setempat.

Begitu jugalah cara Dato’ Aripin Said, pengelola lagu rakyat Melayu, memperoleh ilham untuk menulis dan menggubah. Anak kelahiran Temerloh, Pahang ini telah dilahirkan pada 11 Disember 1948. Sepanjang waktu kecil, dia telah diasuh oleh neneknya yang bernama Zaleha binti Zainal Abidin.

Neneknya yang merupakan seorang bidan kampung rajin menyampaikan cerita dan memberikan pelbagai nasihat serta petua yang berguna. Cerita dan petua neneknya disampaikan menggunakan bahasa yang menarik dan teratur. Pengalaman itu adalah kunci utama yang telah membuka minat Dato’ Aripin Said dalam bidang penulisan dan lagu rakyat.

Minat beliau dalam bidang penulisan bersinar sewaktu zaman beliau bersekolah di Sekolah Menengah Abu Bakar, Temerloh. Pada umur 16 tahun,beliau telah menjadi penyunting majalah sekolah tersebut.

Sudah resmi seorang penulis, pasti juga gemar membaca. Namun begitu, sewaktu zaman persekolahan Dato’ Aripin, bahan bacaan amat sukar untuk diperolehi. Mujurlah ada seorang guru baik hati yang sudi meminjam bahan bacaan kepada beliau. Guru tersebut adalah cikgu Abdul Jalil Mohd. Yusuf.

Selain menjadi penyunting majalah sekolah, Dato’ Aripin turut menyertai Kelab Drama Sekolah yang dikelola oleh Dzulkarim Daud, seorang pengiat teater yang disegani. Menerusi kelab teater ini, beliau telah memperoleh ilmu lakonan dan penulisan skrip.

Kini, Dato’ Aripin telah menghasilkan kira-kira 200 buah cerpen dan puisi. Karyanya banyak disiapkan dalam akhbar dan majalah terkemuka di Malaysia seperti Mingguan Malaysia dan Dewan Sastera.

Penglibatan Dato’ Aripin Said dalam bidang lagu rakyat bermula pada tahun 1990an. Beliau membawakan persembahan berbentuk nasihat kepada anak kecil yang diiringi paluan rebana. Persembahan lagu rakyat telah menarik minat masyarakat dalam dan luar negara sehingga beliau telah dijemput untuk melakukan persembahan lagu rakyat Melayu di negara-negara maju seperti Belanda dan German.

Bahasa Melayu amat asing dengan negara-negara seperti Belanda, German, ini namun mereka amat menghargai karya tradisional yang dibawa oleh Dato’ Aripin Said. Kita selaku rakyat yang hidup di tanah Nusantara, dimana Bahasa Melayu adalah bahasa tutur harian dan bahasa bangsa kita, harus lebih menghargai dan terus menghidupkan lagu rakyat kita. Lagu rakyat adalah cermin bangsa. Jangan biarkan ia pupus dengan sia-sia.

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi negeripahang.com