Asal Usul Gendang Pahang

0
5808

GENDANG PAHANG BUKAN ALUNAN GENDANG BIASA

Gendang Pahang

Gendang Pahang merupakan seni tradisi yang mendapat pengaruh agama Islam yang mendalam. Muzik ini dikatakan dibawa oleh Dato’ Purba Jelai dan penyebarannya dilakukan oleh tiga generasi. Gendang Pahang mempunyai lagunya yang tersendiri dikenali sebagai Bujang Hilir. Ia dimainkan disepanjang Sungai Jelai dan Sungai Pahang.

Muzik ini dimulakan dengan rentak pembukaan dan di akhiri dengan rentak membunuh atau rentak mati di samping rentak-rentak yang lain. Gendang Pahang dimainkan ketika majlis perkahwinan dan adat istiadat istana serta untuk mengiringi persembahan silat dan Tarian Inai.

Alat muzik yang digunakan ialah gendang anak, gendang ibu dan gong (Gendang Pahang yang asli tidak menggunakan serunai). Gendang Pahang tidak terhad kepada golongan lelaki sahaja kerana wanita juga terlibat dalam kesenian ini.

Zaman pemerintahan Raja Jelai dikatakan bermula di Bukit Betong Lipis iaitu di daerah Hulu Pahang telah sekian lama bertapak satu kelompok dari keturunan Raja Pagar Ruyung juga memegang teraju Orang Besar Berempat Pahang turun temurun. Yang dimaksudkan adalah keluarga Orang Kaya Indera Perba Jelai atau Tok Raja Jelai yang mengikut catatan sejarah keluarga mereka, Seri Maharaja Perba adalah nenek moyang mereka yang pertama datang dari Pagar Ruyung ke Lipis pada Tahun 1591. Nama kampong asal Seri Maharaja Perba di Pagar ruyung ialah Kabung Pagar Teras.

Gendang Pahang ini mempunyai 4 jenis paluan iaitu Gendang Silat,Gendang Kosong,Gendang Seloka dan Gendang Poyang.

Antara Paluan Gendang Pahang yang biasa dimainkan adalah :

Bujang Hilir

– Dikatakan berasal dari Bukit Betong,Kuala Lipis dan dikatakan tiada lagi di Lipis disebab sejarahnya dan dijumpai di daerah Maran pada tahun 1900.

Raja Berangkat

– Raja berangkat ini versi lagu dari Semantan dan digunakan semasa Raja berangkat ke Kampung-Kampung.Lagu ini merupakan lagu iringan menyambut Raja Pahang.

Sama Deras

– Lagu gendang silat ini berasal dari Semantan dan terdapat bukti bertulis ianya dimainkan dari tahun 1863.Paluan gendang ini juga juga digelar gendang suluk atau gendang pertapaan.

Lenggang Janda

– Paluan ini berasal dari Semantan.Kalau di Chenor namanya paluan ini dipanggil Janda Numbok dan kalau di Mela paluan ini dipanggil Janda Cari Kayu Api

Sumber Iktisas : Persatuan Gendang Silat Warisan Pahang , Saudara Muhammad Yunus

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi negeripahang.com