Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah akan mengenakan kain Tenun Diraja Pahang sebagai persalinan baginda pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Kain tenun tersebut merupakan sentuhan rekaan yang diilhamkan oleh baginda sendiri dan ia bertambah unik kerana merupakan hasil kerja tangan dari penghuni Penjara Penor dan Penjara Bentong, Pahang.
Memetik laporan Bernama, pemilihan Penjara Penor dan Bentong untuk menghasilkan persalinan Diraja pada istiadat pertabalan itu adalah sebagai tanda penghargaan baginda selaku Penaung Yayasan Tenun Pahang Diraja dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Tenun Pahang Diraja Negeri Pahang.
“Memang Beta mahu penjara yang buat baju untuk Beta pakai pada hari pertabalan. Beta sangat bangga untuk memakainya. Ini merupakan satu penghormatan kepada Beta dan Beta juga ingin memberi penghormatan kepada mereka.
10 Jun – Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan menerima persembahan kain tenun Diraja Pahang sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 yang dihasilkan oleh penghuni penjara Penor dan Bentong, Pahang.#KainTenunDirajaPahang #BeritaRTM pic.twitter.com/djuCI7NyTM
— BeritaRTM (@beritartm) June 10, 2019
“Ada juga rekaan tenunan yang memasukkan lambang Negeri Pahang. Dua minggu sekali Beta akan ke Penjara Penor dan Bentong untuk melihat sendiri perkembangan kerja tenunan yang dilakukan,” titah Tunku Azizah selepas majlis itu.
Ketua Pengarah Penjara Datuk Seri Zulkifli Omar, engarah Penjara Pahang Datuk Ab Basir Mohamad dan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin juga turut hadir dalam majlis tersebut.
Baginda turut bertitah Tenun Pahang Diraja merupakan warisan seni tradisi yang dicipta rakyat Pahang sejak 300 tahun lalu.
Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu akan diadakan pada 30 Julai ini.
Tunku Azizah yang mengagumi hasil kerja tenunan yang dipersembahkan itu bertitah baginda memperoleh ilham bagi rekaan tenunan itu antaranya daripada alam semula jadi dan keadaan sekeliling seperti biji kopi dan bayang-bayang pagar.
Upah menenun kain itu akan diagihkan kepada penghuni penjara berkenaan dan berharap kemahiran menenun akan dapat diperluaskan bagi memelihara warisan dan tradisi Melayu.
Penglibatan Tunku Azizah dalam membangunkan Tenun Pahang bermula pada 2005 dan baginda bertanggungjawab mengangkat Tenun Pahang dengan memasyhurkannya sebagai Tenun Pahang Diraja pada Mei 2006 dengan perkembangannya dipantau rapi menerusi Badan Penasihat Pembangunan Tenun Pahang Diraja.
Kerana minat begitu mendalam terhadap Tenun Pahang Diraja dan demi memartabatkannya, Tunku Azizah menubuhkan Institut Kemahiran Tengku Ampuan Mariam di Kompleks Budaya dan Kraftangan Pulau Keladi di Pekan, Pahang, pada 2010 bagi melatih golongan muda khasnya.
Sementara itu, Zulkifli berkata kerja tenunan itu melibatkan 73 banduan dari Penjara Penor dan 56 orang dari Penjara Bentong.
Beliau berkata kerja menenun dilakukan selama tiga bulan bermula Mac lepas dan tahap kemahiran penghuni kedua-dua penjara itu akan dinilai terlebih dahulu bagi menghasilkan mutu kerja yang berkualiti. – BERNAMA
Sumber foto: Twitter @cheminahsayang