Kisah Banjir di Chenor

0
3125

Ada pelbagai kisah banjir di Chenor di ceritakan oleh orang tua-tua. Antaranya ialah kisah di bawah ini.

Cerita Orang Kampung
Bunyi aneh amaran banjir.

Chenor merupakan kawasan yang mudah dinaiki air semasa musim tengkujuh. Dikatakan sejak dahulu, penduduk yang tinggal berdekatan Bukit Kertau tahu jika bukit itu ‘berbunyi’, itu tanda amaran banjir besar akan melanda kawasan mereka.

Dikatakan sejak zaman sebelum banjir besar tahun 1970-an dahulu, bukit ini masih ‘berbunyi’ dan selalunya, selepas beberapa hari kemudian, Chenor akan banjir.
Bunyinya seakan-akan ombak besar yang menghempas pantai. Bunyinya amat kuat dan boleh didengari penduduk berhampiran.

Dikatakan sejak zaman sebelum banjir besar tahun 1970-an dahulu, bukit ini masih ‘berbunyi’ dan selalunya, selepas beberapa hari kemudian, Chenor akan banjir. Begitu juga semasa bah besar melanda pada tahun 2014, pun bukit ini mengeluarkan ‘bunyi’ amaran beberapa sebelumnya.

Kisah Banjir di Chenor 1

Namun, pada tahun 2015, bukit ini tidak berbunyi dan pada tahun itu, Chenor tidak dilanda banjir yang teruk. Yang pasti, sehingga kini penduduk berhampiran sentiasa peka jika terdengar ‘bunyi’ amaran Bukit Kertau apabila musim hujan menjelma.

Salah seorang warga emas berusia lebih 80 tahun bernama Hajah Kiah yang ditemui menceritakan, pada zaman dahulu, Bukit Kertau bukan saja menjadi lokasi penduduk bersembunyi daripada kekejaman Jepun, bahkan turut menjadi tempat meminjam barang.

“Memang zaman dulu orang kampung akan pinjam pinggan mangkuk jika ada kenduri. Bukan pinggan saja, orang pinjam juga barang perhiasan macam rantai, subang dan dokoh untuk majlis kahwin. Begitu juga bila nak tanam padi, mereka pinjam benih padi. Memang dapat dan padi tumbuh subur dulu,” katanya.
Namun, bila ramai yang tidak ikut janji, ‘orang’ bukit Kertau sudah tidak mahu memberi pinjam lagi.

“Macam mana orang bukit tu tak marah. Ramai yang mungkir janji. Lain dipinjam, lain dipulangnya. Pinjam banyak, bila pulang tak cukup bilangan. Pinjam barang lain, bila hantar barang lain.
“Bagi pinjam benih, dibayarnya dengan huma. Bagi pinjam emas, dia bayar dengan perak. Lama kelamaan orang bukit pun marah dah tak mahu lagi bagi pinjam dengan manusia,” cerita Hajah Kiah.

Kisah Banjir di Chenor 1 2

Tentang naga yang menghuni Bukit Kertau, kata Hajah Kiah orang dahulu mengatakan naga itu sudah keluar semasa banjir besar tahun 1971.
“Orang dulu gelar naga ular lidi. Masa banjir besar tahun 70-an, orang dengar satu letupan kuat dari bukit tu, macam bukit tu pecah dibom. Orang kata masa itulah naga itu keluar ke sungai Pahang sebab ia dah terlalu besar, tak muat lagi tinggal di bawah bukit tu. Itu cerita dulu-dulu,” kata Hajah Kiah.

Berkaitan bukit itu yang berbunyi sebagai tanda amaran banjir, Hajah Kiah mengiakannya. Katanya, sejak zaman dahulu bukit itu jadi petanda penduduk di sini sebelum banjir besar berlaku.
Selalunya ia berbunyi pada waktu malam. Bunyi yang kuat bagai ada benda berdentum atau menghempas benda keras. Jika terdengar bunyi itu, penduduk akan bersiap siaga menghadapi banjir.

“Bunyi tu tak pernah salah. Kalau bukit tu berbunyi semasa musim tengkujuh, tanda akan berlaku banjir. Sejak dulu sampai sekarang begitu. Jika ia tak berbunyi, maka tak berlakulah banjir besar,” ujar Hajah Kiah.
Oleh: Farzana Balqis

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi negeripahang.com