Kuantan Akan Dilimpahi Dengan Bunga Sakura

0
3189

Empat lokasi di Kuantan telah dikenal pasti bakal dihiasi bunga dari pokok Sakura Malaysia atau Tekoma yang telah ditanam secara berperingkat sejak 1990.

Bandar Kuantan bakal menjadi daya tarikan berikutan dengan bunga yang dikeluarkan oleh pokok bunga tersebut yang kebiasaannya mengeluarkan bunga yang menarik antara bulan Mac hingga April setiap tahun.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Norkamawati Kamal, berkata setakat ini pihaknya sudah menanam lebih 1,000 pokok itu di sekitar daerah ini.

“Bunga dari pokok ini memang cantik dan kita harap ia dapat menjadi daya penarik kepada pengunjung, terutamanya dari luar daerah ini.

“MPK sudah tanam pokok bunga Sakura atau nama saintifiknya Tabebuai Pentaphylla di kawasan Jalan Tanah Putih, Jalan Kubang Buaya dan Jalan Kuantan-Gambang,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. Kawasan perumahan Sri Inderapura juga terdapat pokok Sakura Malaysia di beberapa laluan utama, pokok jenis bunga merah jambu itu kini sedang berbunga lebat.

Norkamawati berkata, terdapat tiga spesies pokok bunga Sakura ditanam Bahagian Landskap MPK iaitu jenis berbunga putih, merah jambu dan ungu.

Katanya, jumlah bunga yang banyak pada setiap pokok menjadi tarikan utama setiap kali tiba musim pokok berkenaan mengeluarkan bunganya.

“Pokok Sakura Malaysia atau Tekoma yang bersaiz besar sesuai dijadikan sebagai pokok untuk berteduh selain mempunyai nilai estetika, terutama bagi individu yang meminati bunga berwarna merah jambu, putih dan ungu.

“Terdapat pengantin mengabadikan gambar mereka di kawasan pokok berkenaan setiap kali musim bunga, termasuk pelancong yang datang ke daerah ini tidak ketinggalan merakam gambar kenangan mereka,” katanya.

Difahamkan, Bahagian Landskap MPK akan terus menanam pokok Sakura Malaysia di daerah ini secara berperingkat dalam usaha mengindahkan selain turut menjadi sebagai pokok teduhan.

Terdapat kira-kira 13,000 jenis dan saiz pokok hiasan ditanam di daerah ini yang diselia oleh Bahagian Landskap MPK. Beberapa penduduk mendakwa setiap kali April pokok berkenaan mengeluarkan bunga dengan banyak, peluang berkenaan digunakan peminat mengabadikan gambar mereka.

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi negeripahang.com