MENJENGUK AWAN KARPET DI BENTONG
Oleh Mahathir Ali
TAHUKAH ANDA…Di Bentong, Pahang mempunyai sebuah bukit yang menyajikan pemandangan ‘awan karpet’ yang cukup menarik dan mengasyikkan di awal pagi.
Indah seperti di kayangan! hamparan putih ‘awan karpet’ yang memayungi kawasan hijau di sekitar puncak Bukit itu menawarkan panorama alam yang sangat menakjubkan.
‘BUKIT RAKA’ sebuah bukit yang hanya pada ketinggian 587M dari paras laut namun ianya agak sedikit mencabar untuk didaki kerana laluannya yang jarang dilalui oleh pendaki-pendaki.
Untuk sampai ke puncak Bukit Raka ianya mengambil masa 2 hingga 3 jam nermula dari starting point bergantung kepada keupayaan stamina masing-masing.
Untuk kesini, anda perlu melalui jalan ke Taman Bentong Makmur hingga ke hujung jalan sebelum anda menemui papan tanda yang menunjukkan arah starting point untuk memulakan pendakian.
Diawal pendakian anda akan melalui kawasan kebun getah yang agak landai laluannya. Kemudian anda akan bertemu dengan kawasan hutan dimana ketika ini anda harus menggunakan sedikit tenaga kerana disini telah bermulanya kawasan mendaki namun ianya tidaklah terlalu tinggi. Disini juga anda akan melihat pokok hutan jutaan tahun yang agak besar.
Dipertengahan pendakian, ketika ini anda harus berhati-hati kerana disini anda akan mula menempuh kawasan berbukit yang mencanak dan berbatu. Anda harus menggunakan tali yang disediakan untuk memanjat halangan berbatu ini. Ada lebih 3 laluan yang perlu menggunakan kekuatan tangan memegang tali ketika mendaki. Pastikan kasut yang dipakai sesuai untuk mendaki kerana kawasan berbatu ini agak licin terutamanya diawal pagi dan ketika hujan.
Selepas melepasi halangan berbatu menggunakan tali ini, anda akan disajikan dengan flora dan fauna yang amat menarik. Pelbagai tumbuhan hutan dan spesis orkid mula kelihatan. Ianya sangat mengujakan. Ada juga Orkid yang jarang ditemui tumbuh di kawasan berhampiran puncak Bukit Raka ini. Anda dinasihatkan tidak mencabut atau merosakkan flora dan fauna disini. Jagalah ia baik-baik untuk tatapan generasi akan datang.
Apabila sampai ke puncak, ia sememangnya sesuatu yang amat memuaskan. Setelah penat mendaki kini tiba masanya untuk anda menikmati keindahan ‘awan Karpet’ dicelah-celah sinaran mentari pagi yang mengasyikkan. Kicauan burung dan bunyi angin yang menderu bersama kesejukkan waktu pagi pasti menggamit kenangan sesiapa sahaja yang merasainya.
Ketika ini sudah tentu peluang untuk mengambil gambar di papan tanda Bukit Raka berlatarbelakangkan ‘awan karpet’ tidak akan dilepaskan. Terdapat juga kawasan lapang yang boleh memuatkan antara 3 hingga 4 khemah dan pokok-pokok yang boleh diikat dengan Hammock kepada mereka yang ingin merasai suasana nyaman di puncak bukit lebih lama.
Sesungguhnya negeri Pahang sememangnya bertuah kerana mempunyai banyak kawasan gunung mahupun bukit yang menarik untuk diterokai. Aspek keselamatan jangan dilupakan. Jika anda ingin mendaki dimana-mana kawasan gunung atau bukit dinasihatkan daftar atau maklum di balai polis yang berhampiran dan mendapatkan premit pendakian dari Jabatan Hutan sebagai langkah keselamatan.
Jadi apa tunggu lagi ? kepada peminat ‘Awan Karpet’ dan bunga Orkid jom ke Bukit Raka, Bentong. Cabar diri anda untuk menikmati ‘Awan Karpet’.
Disediakan oleh Unit Komunikasi Dan Media Pahang (UKOMP)
(Berikut sebahagian gambar yang dikongsikan oleh En. Tan San Kuei, Pegawai Kesihatan Persekitaran (Pejabat Kesihatan Daerah Bentong) dan rakan-rakan kepada UKOMP)
Jempu baca: Sejukkan Badan Di Taman Air Darul Makmur, Jerantut