Najib Razak Sebagai Orang Besar Berempat Negeri Pahang

0
25927

Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak sebagai Orang Besar Berempat

Orang Besar Berempat

Seringkali kita melihat adanya istiadat yang melibatkan kerabat diraja Pahang, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak turut hadir dalam majlis tersebut. Ramai yang mempertikaikan kenapa Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak boleh ada dalam majlis yang penting dan melibatkan kerabat diraja Pahang.

Bagi mereka yang tertanya-tanya, kenapa bekas Perdana Menteri Malaysia ke-6, YB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak (DSNR) boleh terlibat dalam Jemaah Pangkuan Diraja tersebut, ini sedikit penjelasan.

1. Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak merupakan salah seorang Orang Besar Berempat, iaitu antara kumpulan pembesar negeri Pahang.

2. Gelaran bagi Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam Orang Besar Berempat ialah Orang Kaya Indera Shah Bandar (OKISB).

3. Orang Besar Berempat biasanya dipilih berdasarkan keturunan mewakili kumpulan atau puak tertentu di Pahang. DSNR dipilih sebagai OKISB kerana menggantikan ayahandanya Allahyarham Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein yang merupakan OKIS ke-10. Tun Razak pula mewarisi gelaran tersebut dari ayahandanya Dato’ Hussein, OKISB ke-9.

4. Mengikut tradisi Orang Besar Berempat adalah dilantik dari keluarga atau puak tertentu yang turun temurun. Bagi orang-orang besar lain ada yang dipilih dari kalangan keluarga tertentu dan ada yang tidak. Walau bagaimanapun kuasa ini terletak kepada Raja Pemerintah. Perkembangan sistem pembesar pahang mempunyai sejarahnya sendiri yang berlainan dengan gelaran-gelaran yang terdapat dalam kalangan pembesar Melaka atau Johor-Riau. Ini adalah kerana semasa Sultan Abdul Ghafur lagi penghijrahan orang-orang dari kepulauan Melayu telah berlaku terutama dari Sumatera.

5. Orang Besar Berempat merupakan salah satu daripada anggota Jemaah Pangkuan Diraja bagi Negeri Pahang, selain Kerabat-Kerabat Diraja Bergelar, Kerabat-Kerabat Diraja yang tidak bergelar, Orang Besar Berlapan, Orang Besar Enam Belas, Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, Mufti Kerajaan Negeri, Penghulu (dua dari Hulu Negeri dan dua dari Hilir Negeri), Orang Besar Raja, Dato’ Yang Kehormat, seorang yang telah dikurniakan dengan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Dimulia Peringkat Pertama (S.S.A.P.), dan seorang yang telah dikurniakan dengan Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia Peringkat Pertama, Sri Indera Mahkota Pahang (S.I.M.P.).

Inilah sebabnya beliau terlibat, bukan kerana beliau bekas Perdana Menteri, atau ‘tangan-tangan ghaib’ tertentu.

Menurut penjelasan menerusi akaun Facebook beliau, dirinya adalah Orang Kaya Indera Shahbandar yang ke-11 yang diwarisi dari bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang merupakan Orang Kaya Indera Shahbandar yang ke-10.

“Saya ada baca komen yang bertanya tentang gelaran Orang Besar Berempat saya di negeri Pahang. Sebelum ini, saya tidak pernah mengulas tentang perkara ini tetapi kali ini, biar saya jelaskan.

“Penghormatan ini diberi sejak tahun 1722 dan diwarisi dari turun temurun. Orang Kaya Indera Shahbandar adalah satu dari Orang Besar Berempat,” katanya dalam akaun media sosialnya itu hari ini.

Jelas beliau lagi, bapanya mewarisi gelaran tersebut daripada susur galur salasilah keturunan yang berkait dengan Kesultanan Johor Riau.

Baca juga : Sejarah Kesultanan Melayu Negeri Pahang

“Saya diberi tanggunjawab oleh Istana Pahang untuk menjaga daerah Pekan iaitu dari Sungai Bebar ke Kuala Lepar. Pekan merupakan Bandar Diraja negeri Pahang dan juga adalah ibu negeri Pahang pada zaman dahulu,” katanya.

Tambahnya, ia adalah satu daripada sejarah keunikan Melayu yang masih kukuh dipertahankan sehingga kini dan satu amanah yang dipikulnya dengan penuh ketaatan serta tanggungjawab

Semoga penjelasan ini dapat tambah pengetahuan kita semua, dan menambah rasa hormat kita pada institusi diraja dalam negara kita.

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi negeripahang.com