Jika anda merupakan seorang peminat sukan bola sepak tanah air, pastinya nama pasukan Pahang FA tidak asing lagi bagi anda. Membariskan pemain-pemain berkaliber dan berbakat besar, Pahang FA telah berjaya menjadi diantara kuasa besar dalam sukan bola sepak tempatan. Pahang FA juga telah berjaya menghasilkan ramai pemain yang berjaya mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa suatu ketika dahulu dan diharapkan lebih ramai yang akan muncul menerusi pasukan ini untuk mengembalikan semula kegemilangan pasukan bola sepak kebangsaan.
Penubuhan Pahang FA
Dikenali dengan nama Tok Gajah dan tagline “Hogoh Pahang Hogoh”, pasukan mana yang tidak takut untuk berhadapan dengan pasukan Pahang. Hogoh atau dalam bahasa lainnya adalah gegar merupakan antara tagline yang agak memukau dan unik kerana ia adalah dalam loghat tersendiri negeri tersebut. Pahang FA merupakan sebuah pasukan bola sepak profesional yang berpangkalan di Kuantan, Pahang. Ia ditubuhkan pada tahun 1959 untuk mewakili negeri Pahang dalam Piala HMS Beagle. Ia dimulakan dengan perlawanan demi perlawanan persahabatan dengan menentang pasukan-pasukan dari negeri lain terlebih dahulu sebagai persiapan serta persediaan sebelum mengharungi kancah Piala HMS Beagles.
Warna kuning menjadi warna rasmi jersi pasukan sehingga ke hari ini. Pahang FA menggunakan Stadium Darul Makmur yang menjadi stadium tuan rumah mereka yang disiapkan pada tahun 1970 oleh Majlis Perbandaran Kuantan.
Kejuaraan Pertama Pahang FA
Kejuaraan ini diperoleh dengan diketuai oleh Jamal Nasir, legenda bola sepak Pahang. Kejuaraan ini dirangkul pada tahun 1983 selepas Pahang FA mencatatkan kemenangan keatas pasukan Selangor pada aksi final sekaligus menamatkan duopoli diantara pasukan Selangor FA dan juga SIngapura FA. Selain itu, Pahang FA juga menjadi pasukan pertama dari pantai timur yang merangkul kejuaraan tersebut.
Zaman Emas Pahang FA
Zaman terbaik Pahang FA adalah pada era 90-an dimana mereka berjaya melayakkan diri ke final Piala Malaysia sebanyak 4 kali berturut-turut. Namun begitu, hanya sekali sahaja dalam waktu tersebut mereka berjaya merangkul kejuaraan iaitu pada tahun 1992. Pada tahun itu juga mereka berjaya mencatatkan double dengan memenangi liga dan Piala Malaysia. Pasukan Pahang pada ketika itu dibarisi beberapa pemain berprofil tinggi seperti Dollah Salleh, Zainal Abidin Hassan, Khairul Azman Mohamed, Abdul Mubin Mokhtar, Ahmad Yusof, legenda bola sepak Australia, Alan Edward Davidson dan juga lagenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad. Pasukan ini berjaya mengalahkan pasukan Kedah FA pada aksi final hasil daripada jaringan terpantas dalam sejarah kejohanan tersebut menerusi Zulhamizan Zakaria.
Pahang FA juga merupakan pasukan pertama yang memenangi Liga Malaysia yang berubah kepada format baru pada tahun 2004. Sebagai sebuah pasukan yang berjaya dan kaya dengan sejarah serta kejayaan, telah ramai pemain yang berjaya dihasilkan menerusi pasukan ini seperti Khairul Azman Mohamed yang merupakan antara penjaga gol terbaik Asia pada era 90-an dan juga penyerang berbisa kebangsaan, Azizul Kamaluddin. Selain itu, mereka juga berjaya melahirkan beberapa bakat lain yang turut berjaya mencipta karier dengan pasukan luar negara seperti Mohd Fadzli Saari yang bermain dengan kelab Jerman, SV Wehen Wiesbaden dan juga Muhammad Juzaili Samion yang bermain dengan pasukan FCSR Haguenau iaitu pasukan divisyen 4 Liga Perancis pada tahun 2000.
Kesimpulannya, Pahang FA merupakan sebuah pasukan yang tidak boleh dipandang rendah kerana untuk beberapa musim kebelakangan ini, mereka telah berjaya menarik beberapa nama besar bola sepak untuk mewakili pasukan mereka dan dibimbing oleh jurulatih berkarisma. Tidak dapat dinafikan sekiranya sistem pengurusan pasukan dapat dibaiki sedikit lagi, Pahang FA akan mampu untuk menjadi sebuah lagi kelab dari Malaysia yang berjaya mencipta nama di peringkat Asia.