Pahang Umum Cuti Pada 30 dan 31 Julai 2019

0
2570

Pahang Umum Cuti Pada 30 dan 31 Julai 2019

Kerajaan negeri Pahang pada Selasa mengumumkan 30 dan 31 Julai ini sebagai hari kelepasan am di seluruh negeri Pahang.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu kenyataan dikeluarkan Pejabat Menteri Besar berkata, perkara itu diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 12 Jun lalu.

Katanya, pengumuman itu dibuat bersempena dengan Hari Keputeraan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan juga hari pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

“Memandangkan dua peristiwa yang berbeza jatuh pada hari yang sama, kerajaan negeri membuat keputusan untuk memberikan hari kelepasan am pada kedua-dua hari berkenaan sebagai menandakan mustahaknya peristiwa itu,” katanya dalam kenyataan media di sini, pada Selasa.

“Semoga rakyat Pahang dapat menghargainya dan menggunakan hari kelepasan am selama dua hari itu dengan sebaiknya,” katanya.

Pada 30 Mei lalu, kerajaan negeri mengumumkan 30 Julai sebagai cuti umum sempena Hari Keputeraan Al-Sultan Abdullah.

Ketetapan itu dibuat berdasarkan kuasa diberikan mengikut Subseksyen 9 (1) Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369).

Al-Sultan Abdullah yang diputerakan pada 30 Julai 1959 di Istana Mangga Tunggal, Pekan dekat sini menggalas tugas sebagai ketua negara menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15 pada 6 Januari lalu selepas memegang tampuk pemerintahan sejak 13 Disember 2016.

Seri Paduka dipilih oleh raja-raja Melayu dalam Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-251 (Khas) di Istana Negara pada 24 Januari lepas bagi tempoh lima tahun.

Seri Paduka yang juga Sultan Pahang Keenam dalam era moden melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara pada 31 Januari lepas manakala Istiadat Pertabalan disempurnakan 30 Julai ini.

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi negeripahang.com