Pertabalan DYMM Sultan Abu Bakar, Pahang

0
846

Pada hari ini dalam tahun 1933, upacara pertabalan DYMM Sultan Abu Bakar telah diadakan di Pekan, Pahang. Upacara ini adalah untuk menabalkan DYMM Sultan Abu Bakar secara rasmi di atas takhta Kerajaan Pahang setelah baginda menaiki takhta menggantikan ayahanda baginda yang telah mangkat pada tahun sebelumnya.

Upacara pertabalan ini dilangsungkan dengan penuh kebesaran adat-istiadat Raja-Raja Melayu dan gilang gemilang. Antara tetamu diraja dan kehormat yang hadir ke majlis tersebut ialah Sultan Perak, Raja Muda Selangor, Tunku Besar Seri Menanti, Tengku Indera Segara Terengganu, Wakil-wakil dari Raja-Raja Negeri Melayu seperti wakil-wakil Sultan Kelantan, Terengganu dan lain-lain; Sir Cecil Clementi serta pegawai-pegawai pentadbiran Inggeris, para pembesar Pahang dan lain-lain orang kenamaan.

Upacara dimulakan dengan istiadat bersiram di Panca Persada Tujuh Tingkat yang dibina khas di Istana Seri Terentang. Kemudian diikuti dengan istiadat pertabalan dan mengangkat sumpah yang diadakan di Balairong Istana Pantai. Kemuncak pada upacara pertabalan ini ialah pembacaan warkah pengisytiharan DYMM Sultan Abu Bakar ibni Almarhum Sultan Abdullah sebagai Sultan negeri Pahang oleh Tengku Arif Bendahara dan diikuti dengan upacara mengangkat sumpah oleh DYMM Sultan yang kemudiannya menurunkan tandatangan pada warkah tersebut sebagai tanda rasminya DYMM Sultan Abu Bakar sebagai Sultan dan Yang di-Pertuan bagi negeri Pahang Darul Makmur.

Istiadat pertabalan ini kemudiannya diikuti dengan bacaan doa selamat oleh Ketua Kadhi Pahang dan diakhiri dengan upacara Santap Nasi Adap yang diadakan di Istana Seri Terentang. Dengan berlangsungnya upacara pertabalan DYMM Sultan Abu Bakar ini maka bermulalah satu era baru dalam sejarah pemerintahan negeri Pahang apabila dalam masa pemerintahan bagindalah negeri Pahang semakin maju dan berkembang pesat.

Sumber : Arkib

Anda dijemput untuk like facebook page Negeri Pahang

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi negeripahang.com