S.Roomai Nor Anak Kelahiran Kampung Tengah, Temerloh, Pahang

0
5111

S.Roomai Nor Anak Kelahiran Kampung Tengah, Temerloh, Pahang

Pada hari ini, 20 tahun yang lalu, iaitu pada tanggal 16 Mac 1996, telah perginya seorang seniman lagenda, tokoh persuratan dan perfileman serta pejuang kemerdekaan yang berasal dari Kampung Tengah, Temerloh, Pahang Darul Makmur. Beliau adalah Mohamed Taib Salleh, juga dikenali dengan nama ‘glamour’nya iaitu S. Roomai Noor.

Lebih terkenal sebagai bintang filem melayu klasik yang berpusat di Studio Jalan Ampas, Singapura, khususnya di era 1940an dan 1950an, beliau mempunyai karisma dan taraf lagenda yang tersendiri di dalam dunia perfileman melayu klasik. Berbekalkan rupa yang kacak dan bakat lakonan yang tersendiri, beliau pantas mengecap kemasyuran di dalam bidang perfileman.

Beliau juga merupakan orang tempatan pertama yang berjaya menjadi pengarah filem di Studio Jalan Ampas, Singapura. Selain itu, beliau juga terlibat dalam penubuhan sebuah lagi syarikat filem melayu klasik yang popular pada waktu itu, iaitu Cathay Keris Film.

Namun, ramai yang tidak tahu, bakat beliau dalam bidang lakonan digilap ketika beliau sedang dalam perjuangan menuntut kemerdekaan tanah air dari daerah Temerloh. Selain pernah aktif bersama Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Angkatan Pemuda Insaf (API) di Temerloh, pada mulanya, S. Roomai Noor terlebih dahulu menganggotai Persatuan Melayu Pahang (PMP) cawangan Temerloh.

PMP cawangan Temerloh ketika itu adalah antara yang paling aktif berbanding PMP cawangan daerah lain dengan pertarungan idelogi antara golongan kanan (pro-British/feudal) dan golongan kiri (anti-British/marhaen). Kamarulzaman Teh (anti-British) juga pada waktu adalah pemimpin PIMP cawangan Temerloh ini.

S.Roomai Nor Anak Kelahiran Kampung Tengah, Temerloh, Pahang

Pada waktu ini (1946-1948), S.Roomai Noor bersama rakan seperjuangan yang lain seperti Idris Haji Abdul Rahman (adik sepupu Pak Sako) dan Yusuf Salleh sering mengadakan teater rakyat di bawah rimbunan pokok-pokok besar di Kuala Semantan (lokasi Esplanade Temerloh sekarang). Para ustazah dan pelajar perempuan dari sekolah agama di sekitar daerah Temerloh turut sama menjayakan sandiwara yang berbentuk teater rakyat ini.

Dalam teater rakyat itu, S.Roomai Nor dan pejuang-pejuang kemerdekaan di Temerloh yang lain telah menggunakan sandiwara itu bukan sahaja dengan tujuan berhibur semata-mata, namun juga sebagai satu saluran komunikasi politik dalam menyedarkan rakyat khususnya warga Temerloh ketika itu akan betapa pentingnya mencapai kemerdekaan dari penjajahan bangsa asing.

S. Roomai Nor dan pejuang-pejuang kemerdekaan yang lain di Temerloh ketika itu sering melakonkan beberapa aspek kehidupan rakyat desa yang miskin dan menderita untuk menggambarkan bahawa itulah kesan keburukan penjajah. Di samping itu itu, diselitkan juga lawak jenaka yang menyindir golongan tertentu, khasnya golongan feudal yang dianggap pro penjajah ketika itu.

Mereka juga kemudian akan menyanyi dan menyanyi muzik dengan lirik-lirik yang berunsurkan kemerdekaan. Dalam teater rakyat ini, S.Roomai Noor sering berlakon sebagai hero.

Sesungguhnya jasa dan pengorbanan S.Roomai Noor dalam tiap lapangan yang diceburinya haruslah diinsafi dan dihayati dengan mendalam khususnya golongan muda pada hari ini supaya kita lebih bertambah kritis terhadap konsep jati diri yang jitu dalam menempuh era globalisasi pada hari ini dan tidak terbuai hanyut begitu sahaja dengan dunia hedonisme hiburan semasa.

Kredit foto: Berita Harian 1987 dan FB Pusat Sejarah Rakyat.

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi negeripahang.com