Sejarah Cameron Highlands Sebelum Dikenali Sebagai Tempat Pelancongan

0
7060

Bagi rakyat Malaysia, agak mustahil jika anda tidak pernah mendengar nama Cameron Highlands. Ia merupakan sebuah destinasi utama pelancongan di Malaysia. Banyak perkara menarik yang boleh anda dapati dan lakukan disana. Cuacanya juga agak dingin dan nyaman. Cuacanya merupakan sesuatu yang agak sukar untuk anda temui di kawasan pelancongan lain di Malaysia. Ia juga menawarkan serta menyajikan anda dengan berbagai keindahan alam semulajadi dan pemandangan yang memukau. Anda juga boleh temui beberapa jenis tanaman yang hanya sesuai untuk kawasan yang bersuhu rendah seperti strawberi. Selain itu juga, anda boleh mendapatkan sayur-sayuran dan buah-buahan yang sangat segar. Banyak sebenarnya jika anda ingin bercerita tentang Cameron Highlands. Satu soalan buat anda. Pernah tak anda tertanya-tanya mengenai sejarah Cameron Highlands? Bagi anda yang pernah berkunjung atau bakal berkunjung ke Cameron Highlands, pastinya lebih menarik jika anda mengetahui serba sedikit sejarah di sebaliknya.

Ekspedisi Pertama ke Cameron Highlands
Sejarahnya bermula pada penghujung abad ke-19, iaitu pada tahun 1885 dimana seorang jurukur kerajaan iaitu William Cameron telah ditugaskan untuk menjalankan satu ekspedisi ke kawasan Bajaran Titiwangsa. Hasil daripada ekspedisi ini, beliau dan pasukannya telah menemui sebuah dataran yang tinggi dan bercerun. Meskipun dataran ini menarik perhatian dan mempunyai potensi untuk dibangunkan, beliau dan pasukan tidak mencatatkannya didalam pelan kedudukan sebenar kawasan tersebut. Sebaliknya, beliau hanya mencatatkan laluan untuk ke sana sahaja. Laluan yang digunakan adalah laluan yang mengarah ke hulu Sungai Raja. Laluan ini adalah bersebelahan dengan negeri Perak.

Seterusnya, didalam peta-peta yang berlainan, kawasan dataran tinggi ini dicatatkan pada lokasi-lokasi yang berbeza dan hal ini jelas menunjukkan bahawa apa yang dicatatkan beliau adalah berdasarkan jangkaan beliau sahaja. Walaubagaimanapun, ia jelas terbukti bahawa beliau merupakan orang pertama didalam sejarah yang mencatatkan dan menyerlahkan kawasan dataran tinggi ini didalam peta. Gunung-gunung yang berada disekitar dan melindungi kawasan ini pula kelihatan rendah jika diukur daripada paras ketinggian yang dijangkakan.

Ekspedisi Lanjut oleh William Cameron
Ekspedisi selanjutnya telah dijalankan oleh beliau dan pasukan bermula dari bulan Februari 1885 dan ekspedisi ini berlangsung selama beberapa bulan sebelum berakhir pada 1 September 1885. Sebagai mengenang jasa William Cameron selaku ketua ekspedisi ini, kawasan dataran tinggi ini telah dinamakan bersempena dengan nama beliau iaitu Tanah Tinggi Cameron atau lebih dikenali sebagai Cameron Highlands. Sebelum itu, tempat ini hanya dikenali sebagai Hill Station. Ia telah disebut buat pertama kali dalam sebuah mesyuarat oleh residen Negeri Perak pada tahun 1888 dan menerusi mesyuarat ini, beliau telah mengemukakan pandangan beliau dimana beliau berpendapat bahawa kawasan ini boleh dibangunkan dengan tempat-tempat peranginan, rumah-rumah tumpangan, taman-taman, ladang-ladang dan juga kawasan pertanian. Cadangan beliau telah membolehkan sebanyak RM20 000 disalurkan bagi kerja-kerja memanjangkan sebuah lorong sempit yang menghala ke Cameron Highlands.

Proses Pembangunan Cameron Highlands
Pada tahun 1920, Pengarah Muzium Negeri Pahang telah mengetuai sebuah ekspedisi yang mengfokuskan kepada laporan mengenai geologi, pertanian dan kesihatan di kawasan ini. Selain itu, sebuah peta lakar rasmi dan pertama mengenai tempat ini telah dibuat oleh Jurutera Negeri. Pada tahun 1925, Sir George Maxwell telah membuat lawatan rasmi ke sini sekaligus menetapkan untuk membangunkan kawasan ini sebagai sebuah Hill Station. Menerusinya juga, sebuah Jawatankuasa Pembangunan telah dibentuk.

Menerusi jawatankuasa ini, beberapa pembangunan telah berjaya dilaksanakan seperti pembinaan jalan raya dan juga pembahagian zon seperti kawasan bandar, kediaman, pusat perkhidmatan, kawasan pentadbiran dan juga tempat rekreasi. Syarat-syarat pemberian tanah juga telah dipinda dan dilaksanakan untuk membolehkan syarikat-syarikat membuat permohonan tanah. Jawatankuasa ini telah ditamatkan tugasnya pada akhir tahun 1931 sebelum pentadbiran kawasan ini ditadbir sama seperti daerah-daerah lain di negeri Pahang malah seorang Penolong Pegawai Daerah Inggeris telah ditempatkan disini bermula pada 1 Julai 1931. Tarikh ini juga boleh dikatakan sebagai tarikh dimana daerah cameron Highlands mula diwujudkan.
Peperangan Dunia Kedua dan penaklukan Jepun telah merencatkan serta membantutkan pembangunan yang dilakukan oleh Cameron Highlands. Namun demikian, pembangunan Cameron Highlands menjadi semakin rancak selepas darurat tamat dan Hill Station dibangunkan semula menjadi kawasan pelancongan yang popular bukan sahaja didalam negara bahkan pelancong dari luar negara juga memilih Cameron Highlands sebagai destinasi pelancongan mereka seperti mana yang anda ketahui dan rasai pada hari ini.

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi negeripahang.com