Sejarah Disebalik Genting Highlands

0
1423

Di Malaysia, terdapat beberapa sahaja tempat yang mempunyai taman tema yang menarik dan mampu memberikan kepuasan serta keseronokan yang tidak terkata. Jika soalan mengenai taman tema terbaik di Malaysia diajukan kepada kita, pastinya jawapan yang akan diberikan adalah Genting Highlands. Kenapa Genting Highlands? Ia merupakan taman tema terbesar di Malaysia yang menawarkan berbagai jenis permainan outdoor dan juga indoor yang mampu membuatkan anda menjerit keseronokan dan dalam masa yang sama ketakutan. Bagi mereka yang suka mencabar diri dengan aktiviti yang agak ekstrem, gayat dan melibatkan kelajuan, banyak permainan yang boleh anda cuba disana. Selain daripada taman temanya yang menarik, Genting Highlands turut dikenali sebagai sebuah tempat percutian yang popular. Ia juga turut dilengkapi dengan berbagai jenis kemudahan terutamanya tempat penginapan yang selesa dan pada harga yang agak berpatutan. Selain itu, ia juga turut dikenali sebagai “Las Vegas Malaysia” kerana ia merupakan pusat perjudian yang paling berprestij dan satu-satunya yang sah di Malaysia.

Lokasi Genting Highlands
Genting Highlands terletak 2000 meter diatas paras laut. Ia merupakan sebuah puncak gunung yang terletak dalam Banjaran Titiwangsa. Ia juga merupakan sebuah pusat pelancongan yang sangat terkenal didalam dan juga luar negara. Untuk sampai ke sini, anda boleh menaiki kenderaan melalui Kuala Lumpur yang mengambil masa sekitar 1 jam atau anda juga boleh menaiki kereta kabel untuk menikmati keindahan alam semulajadi yang disajikan sepanjang perjalanan anda.

Siapa Disebalik Pembangunan Genting Highlands?
Genting Highlands merupakan sebuah tempat pelancongan yang diusahakan oleh Tan Sri Lim Goh Tong. Idea beliau untuk mendirikan dan memajukan genting Highlands adalah berinspirasikan dari pengalaman beliau sendiri ketika berehat di Cameron Highlands ketika beliau mengusahakan projek empangan di Pulau Pinang yang memerlukan beliau untuk ulang alik daripada Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Beliau suka dengan keadaan dan cuaca sejuk di Cameron Highlands. Keunikan Cameron Highlands telah membuatkan beliau terfikir alangkah baiknya jika sebuah tempat seperti ini dapat diusahakan di Kuala Lumpur.

Merasakan bahawa idea beliau akan membuahkan hasil, beliau berusaha untuk mencari sebuah lokasi yang tidak terlalu jauh daripada Kuala Lumpur. Lokasi ini sebenarnya terletak ditengah-tengah diantara negeri Selangor dan juga negeri Pahang. Ia pada awalnya merupakan sebuah tempat yang didalam perancangan kerajaan untuk diusahakan namun disebabkan oleh beberapa isu dalam dan luar negara yang melibatkan Malaysia sedang berlaku, menyebabkan proses pembangunan oleh kerajaan ini telah terhenti. Hal ini sebenarnya memudahkan lagi proses “proposal” projek oleh beliau untuk diluluskan kerana beliau mempunyai dana dan status kewangan yang kukuh.

Kesulitan dalam Pembangunan Genting Highlands
Meskipun proses untuk mendapat kelulusan boleh dikatakan agak mudah, namun proses untuk membangunkannya agak sulit. Ramai rakan-rakan beliau yang diajak untuk bersama-sama memajukan Genting Highlands ini menolak pelawaan beliau meskipun beliau memberikan nilai kongsian saham sebanyak 10%. Mereka beranggapan usaha beliau adalah sia-sia dan tidak akan membuahkan hasil. Akhirnya beliau dan seorang jurutera serta dibantu oleh beberapa orang asli berusaha untuk meneroka serta membuka jalan untuk ke Genting Highlands. Beliau akan berehat di dalam gua apabila letih dan meneruskan kembali perjalanan selepas rehat meskipun pada ketika itu beliau sudah berusia lebih dari 50 tahun.

Berbagai peristiwa yang boleh dikategorikan sebagai peristiwa yang hampir meragut nyawa yang dilalui beliau seperti hampir terjatuh kedalam gaung ketika menaiki kenderan namun tindakan berani beliau melompat keluar dari kenderaan telah menyelamatkan nyawa beliau. Selain itu, beliau juga hampir dihempap pokok, dikejar binatang liar dan bermacam-macam lagi peristiwa getir yang berlaku. Namun semua itu digagahi dan diharungi juga kerana beliau percaya bahawa beliau akan beroleh kejayaan pada akhirnya. Pada mulanya, beliau hanya bercadang untuk mendirikan sebuah hotel dengan 38 buah bilik sahaja. Namun, desakan daripada kerajaan membuatkan beliau menambah jumlah bilik yang ditawarkan. Akibat daripada tindakan beliau untuk memajukan Genting Highlands, beliau hampir muflis untuk kali yang kedua kerana beliau menjual banyak aset beliau.

Kejayaan Genting Highlands
Menerusi proses pembangunan Genting Highlands ini, beliau telah dapat bekerjasama dengan 5 orang perdana menteri pertama Malaysia dan menerusi kerjasama ini, beliau dapat memperoleh berbagai pandangan yang bernas untuk memajukan lagi Genting Highlands. Genting Highlands juga telah berjaya memperoleh berbagai anugerah dan dipilih untuk menjadi tempat penganjuran aktiviti-aktiviti besar bertaraf antarabangsa.

Buat masa ini, Genting Highlands sedang melalui proses untuk menambahbaik dan menukar permainan “outdoor” mereka. Diharapkan proses ini berjalan dengan lancar dan selamat kerana ramai yang tidak sabar untuk melihat wajah baharu Genting Highlands sebaik sahaja proses ini selesai.

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi negeripahang.com