Sejarah Kampung Cherating

0
332

Bagaimana Kampung Cherating diberi nama

Menurut sumber yang dipercayai, sekitar tahun 1870-an, ramai warga tempatan dari jajahan cik siti wan kembang telah keluar berhijrah ke negeri-negeri berhampiran untuk memulakan kehidupan yang baru. Ini berikutan kesan daripada perang saudara yang tercetus di negeri tersebut.

Berikutan keadaan yang huru hara dan tidak selamat itu, ramai penduduk negeri Kelantan telah membuat keputusan untuk berhijrah demi menjamin keselamatan diri dan keluarga masing-masing. Negeri jiran seperti Terengganu dan Pahang telah menjadi pilihan mereka untuk mencuba kehidupan baru mereka.

Antara mereka yang keluar berhijrah ke Negeri Pahang ialah Encik Abdul Latif bin Awang. Beliau turut ditemani isterinya telah keluar berhijrah ke Negeri Pahang. Setelah menempuh segala rintangan demi mencuba kehidupan yang baru bersama isteri tercinta, akhirnya beliau tiba di negeri tok gajah ini.

Kampung Sungai Karang merupakan destinasi pertama beliau pada ketika itu. Namun begitu, beliau merasakan bahawa dirinya tidak disenangi oleh penduduk kampung tersebut kerana beliau merupakan pendatang baru. Akhirnya, beliau mengambil keputusan untuk keluar dari Kampung Sungai Karang.

Ketika dalam perjalanan keluar dari kampung tersebut, beliau telah singgah di sebuah muara sungai yang terletak di utara Negeri Pahang. Beliau mendapati sungainya amat luas, panjang dan amat dalam. Kawasan sekitarnya turut dipenuhi dengan hutan paya bakau. Beliau merasakan bahawa kawasan ini amat sesuai untuk dijadikan sebuah penempatan baru bagi dirinya dan isteri.

Alah bisa, tegal biasa, beliau berserah kepada Allah untuk memberkati perjalanan serta keputusan beliau tersebut. Beliau terus menyusuri sungai tersebut untuk meneroka dengan lebih lanjut lagi tentang keadaaan di kawasan baru ini. Beliau mendapati di sekitar sungai ini terdapat banyak buaya yang membiak di kawasan paya bakau.

Sedang beliau meneroka di tepi sungai tersebut, beliau mendapati ranting-ranting kayu bakau tersebut jatuh ke dalam sungai, maka terhasillah bunyi “ cherau… cherau … cherau … “ lalu disambar oleh buaya-buaya yang terdapat di kawasan ini. Turut difahamkan bahawa Encik Abdul Latif menamakan kawasan ini sebagai Cherating kerana hasil daripada gabungan bunyi ranting jatuh iaitu “ cherau .. “ dan ranting iaitu peristiwa dahan-dahan ranting yang jatuh lalu disambar oleh buaya-buaya disitu.

Semasa hayatnya, beliau telah dikurniakan dengan lima orang cahaya mata dan dari situ berkembanglah keturunan beliau serta bermulanya pembukaan tanah untuk penempatan di kampung ini. Perlahan-lahan, kampung ini didatangi oleh para perantau dan perantau tersebut mengambil keputusan untuk terus menetap disini.

Kampung Cherating

Bermula dari itu, penempatan baru ini dinamakan Kampung Cherating dan ianya kekal sehingga ke hari ini. Kampung Cherating turut menjadi kebanggaan para penduduk tempatan malah turut serta dikunjungi oleh pelancong dari luar yang mengkagumi keindahan semulajadinya.

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi negeripahang.com