Sejarah Kampung Mengkasar Pekan Pahang

0
4751

Kampung Mengkasar merupakan salah sebuah perkampungan yang tertua di Daerah Pekan. Berdasarkan sejarah, terdapat orang Bugis dan Acheh menetap di sini. Pada tahun 1722, Tok Uban atau Kraeng Aji yang bernama Kraeng Agang Jene Muhammad Naziruddin, atau lebih dikenali sebagai Tok Tuan berketurunan Bugis telah membuka sebuah kampong yang bernama Mengkasar bersempena nama tempat asalnya di Bugis.

Dari keturunan Bugis inilah bermulanya asal-usul keturunan “Orang Kaya Indera Shah Bandar Pahang’ iaitu keturunan Allahyarham Tun Abdul Razak. Tenunan sutera Pahang juga telah diperkenalkan oleh Tok Tuan. Bukti kehadiran Bugis dengan kewujudan Makam Chondong di mana ia merupakan makam Bonda Iskandar Thani yang mana batu nisan itu sendiri di bawa dari Acheh.

Baca juga: Songket Tenun Pahang, Kebanggaan Rakyat Pahang

Kain tenun Pahang dipercayai berasal dari Riau atau Sulawesi dan dibawa masuk ke negeri ini sekitar abad ke 16-17, Mengikut catatan sejarah, orang besar Makasar/Bugis diketuai Tok Tuan atau Karaeng Aji berkunjung dan menetap di Kampung Mengkasar, Pekan. Beliau dikatakan bertanggungjawab memperbaiki cara menenun kain sutera tempatan ketika itu dan dikenali sebagai tenunan Pahang.

Reka corak dan ragam hias yang halus buatannya menghiasi kain Tenun Pahang. Reka corak tertentu pada kain atau tekstil menjadikan sebagai lambang darjat, identiti kaum, kepercayaan, ritual keagamaan dan sebagainya. Begitu juga keindahan kain Tenun Pahang yang tidak dapat dipisahkan dari reka corak asas yang tersendiri. Pelbagai motif, corak dan warna yang berlainan terdapat pada kain tenun Pahang.

Kain tenunan Pahang yang menggunakan teknik ikat dengan corak berjalur dan corak mendatar dan menegak sesuai dijadikan kain samping untuk melengkapkan pakaian baju melayu bagi kaum lelaki dan kain sarung atau baju pasang bagi wanita. Kebiasaannya kain tenun ini dijadikan pakaian pengantin. Sarung tenun bercorak pula dibahagikan kepada kain bercorak melintang, memanjang, corak Rawa atau Bugis dan corak Muar. Terdapat juga penggunaan benang emas yang menghasilkan motif garis halus atau kesan bunga-bunga kecil, bertabur menghiasi kain.

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi negeripahang.com