Sejarah Kesultanan Melayu Negeri Pahang

0
10586

Negeri Pahang terletak di bahagian tengah membawa ke timur Semenanjung Tanah Melayu. Ia bersempadan dengan Laut China Selatan di timur, negeri Kelantan dan Terengganu di utara, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan di barat, dan Johor di selatannya.

Negeri Pahang merupakan negeri yang terbesar dengan gunung tertinggi serta sungai terpanjang di bahagian Semenanjung Tanah Melayu (Malaysia), merupakan sebuah negeri yang tertua selepas Patani (sekarang dalam wilayah Thailand), iaitu lebih tua dari Melaka. Pada zaman dahulu, kerajaan Negeri Pahang meliputi hujung tanah hingga ke Singapura. Raja Pahang juga mempunyai talian persaudaraan melalui perkahwinan dengan Parameswara, iaitu Raja pertama yang membuka Negeri Melaka.

Corak pemerintahan Kesultanan Melayu Islam di negeri Pahang wujud selepas terbentuknya Kerajaan Islam di Melaka walaupun kerajaan di negeri Pahang telah lama wujud. Sultan Pahang yang pertama merupakan putera kepada Sultan Mansur Shah yang memerintah Melaka (c.1470 M).

Untuk pengetahuan semua pembaca, Kesultanan Melayu Pahang dibahagikan kepada beberapa peringkat. Pada peringkat pertama, pemerintahan Siam di Pahang telah diserang dan diambil alih oleh kerajaan Melaka. Maharaja Dewa Sura telah ditawan dan dibawa ke Melaka, manakala puterinya, Puteri Onang Seri telah dikahwini oleh Sultan Mansur Shah dan mendapat 2 orang putera iaitu Raja Muhammad dan Raja Ahmad.

Kemudian berlaku satu peristiwa di mana pembunuhan anak Bendahara Paduka Raja Tun Perak yang bernama Tun Besar telah ditikam kerana menjatuhkan destar Raja Muhammad yang sedang berkuda. Anak Bendahara Paduka Raja Tun Perak yang bernama Tun Besar ketika itu sedang bermain sepak raga. Pertelagahan kedua-dua keluarga segera ditegah oleh Bendahara Tun Perak dengan katanya yang masyhur “Nyiah! Nyiah kamu semua, nyiah kerana istiadat hamba Melayu tiada pernah derhaka. Tetapi akan anak raja seorang ini janganlah kita pertuan”. Oleh sebab peristiwa itu, Raja Muhammad telah ditolak dari bumi Melaka dan dirajakan di Pahang sebagai sultan yang pertama, bergelar Sultan Muhammad Shah (c. 1470). Sultan Muhammad Shah memerintah Negeri Pahang selama 5 tahun (1470-1475) dan mangkat pada 1475 dan dikebumikan di Dusun Pinang, Pahang Tua, Pekan.

Raja Ahmad menyusul menjadi Sultan Pahang setelah kemangkatan Sultan Muhammad Shah. Dari keturunan baginda kedua inilah wujudnya dinasti pertama Kesultanan Pahang dari Kesultanan Melaka sehinggalah ke Sultan Abdul Ghafur Mohayuddin Syah. Dinasti ini tamat di negeri Pahang setelah Sultan Abdul Ghafur Mohayuddin Syah dan anakanda baginda, Raja Muda Abdullah dibunuh oleh seorang anggota keluarganya yang turut menerima hukuman yang sama (c. 1614). Makam keluarga diraja ini terdapat di Makam Chondong, Padang Buluh, Pekan.

Kesultanan di Johor telah mengambil alih pemerintahan di Pahang tetapi telah diserang oleh kerajaan Acheh di bawah pemerintahan Sultan Iskandar Muda (Mahkota Alam). Kerajaan Acheh juga melanggar Johor Lama khususnya di Batu Sawar membawa bersama Sultan Alauddin Ri’ayat Shah serta Bendahara Paduka Raja Tun Mohamad atau dikenali juga sebagai Tun Seri Lanang bersama-sama puluhan ribu rakyat Johor dan Pahang ke Acheh. Seorang Puteri Pahang, Puteri Kamaliah dan anak saudaranya Raja Mughal, putera kepada Raja Ahmad turut dibawa ke Acheh. Puteri Kamaliah dikahwini oleh Sultan Iskandar Muda dan terkenal dalam sejarah dan puisi (nazam) di Acheh hingga hari ini sebagai Putroe Phang.

Raja Mughal telah dijadikan anak angkat dan menantu kepada Sultan Iskandar Muda dan kemudiannya ditabalkan sebagai Sultan Acheh bergelar Sultan Iskandar Thani. Sultan Iskandar Thani memerintah Acheh pada tahun 1638 sehingga ke tahun 1641. Setelah kekuasaan Acheh bertambah reda di Johor dan Pahang dengan kemangkatan sultan serta ketiadaan zuriat Sultan Pahang, maka Pahang telah diletakkan di bawah satu wilayah pemerintahan berpusat di Johor dan Pahang diletak di bawah jagaan Bendahara. Ketika waktu ini, dinasti Kesultanan Negeri Pahang yang berpusat di Johor adalah dalam dinasti yang sama iaitu dari keturunan Sultan Melaka yang berasal dari Sultan Muhammad Shah hingga ke Sang Nila Utama, raja yang bermula di Palembang turun ke Bentan, Singapura dan membuka kerajaan di Melaka.

Pemerintahan dinasti ini telah berakhir dengan mangkatnya Sultan Mahmud Shah ke-2 di Kota Tinggi pada Ogos 1699 yang telah dibunuh oleh Laksamana Bentan Megat Seri Rama. Pemerintahan kerajaan Pahang seterusnya telah digantikan oleh keluarga dan keturunan yang terkanan dan yang terdekat iaitu keluarga bendahara, Bendahara Paduka Raja Tun Abdul Jalil. Ini kerana Sultan Mahmud Shah ke-2 atau Marhum Mangkat Dijulang tidak mempunyai zuriat. Bendahara Paduka Raja Tun Abdul Jalil bergelar Sultan Abdul Jalil Ri’ayat Shah ke-4 (Marhum Mangkat di Kuala Pahang), adalah anak kepada Bendahara Seri Maharaja Tun Habib Abdul Majid.

Salasilah Kesultanan Pahang Moden pada hari ini bersusur galur daripada dinasti Bendahara Johor seperti diperihalkan di atas. Pahang diletakkan di bawah pemerintahan Bendahara bermula 1770 apabila Temenggong Tun Abdul Majid, iaitu anak Bendahara Tun Abbas diangkat sebagai Bendahara bagi Pahang.

Dinasti ini terus kekal memerintah Kerajaan Johor-Riau-Pahang. Pada penghujung pemerintahan kerajaan ini, Raja bersemayam di Riau (Bentan), Bendahara di Pahang, Temenggung di Johor, dengan masing-masing mempunyai kuasa mutlak dalam pemerintahan, kecuali dalam pelantikan baru Bendahara dan Temenggung dari kalangan zuriat masing-masing. Akibat campur tangan Belanda dan British melalui Perjanjian Inggeris-Belanda pada tahun 1824, hilanglah kekuasaan Riau ke atas wilayah Johor dan Pahang. Maka, Pahang dan Johor telah menjadi negeri berdaulat dan seterusnya melantik pemerintahan wilayah masing-masing sebagai sultan.

Pada 6 Ogos 1882, Bendahara Wan Ahmad diusulkan pembesar baginda untuk memakai gelaran Sultan Pahang, sekali gus menjadi Sultan Pahang pertama dalam Kesultanan Pahang Moden. Gelaran baginda adalah Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah. Baginda telah mengalahkan kekandanya Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir melalui perang saudara kerana perselisihan keluarga dan menyebabkan rakyat Pahang berpecah-belah untuk seketika. Semasa berundur ke Johor, Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir dan anakandanya Tun Koris telah meninggal dunia di Sedili pada bulan Mei 1863. Wan Ahmad kemudiannya dilantik sebagai Bendahara Siwa Raja dan bergelar sultan pada 6 Ogos 1882. Maka dari zuriat sultan inilah kekal sebagai pemerintahan Kesultanan Pahang hingga hari ini.

KESULTANAN PAHANG MODEN

1. Sultan Ahmad al-Mu’azzam Shah

Memerintah: 1881 – 1909
Turun takhta kerana usia tua
Mangkat: 1914 (umur 77)

Baca : Sultan Ahmad Al-Mu’adzam Shah, Sultan Negeri Pahang Yang Pertama

2. Sultan Mahmud Shah ibni al-Marhum Sultan Ahmad al-Mu’azzam Shah

Memerintah: 1909 – 1917
Mangkat: 1917 (umur 49)

Baca : Sultan Mahmud Shah, Sultan Negeri Pahang Yang Kedua

3. Sultan Abdullah al-Mu’tasim Billah Shah ibni al-Marhum Sultan Ahmad al-Mu’azzam Shah

Memerintah: 1917 – 1932
Mangkat: 1932 (umur 57)

Baca : Sultan Abdullah Al-Mu’tasim Billah, Sultan Negeri Pahang Yang Ketiga

4. Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin al-Mu’azzam Shah ibni al-Marhum Sultan Abdullah al-Mu’tasim Billah Shah

Memerintah: 1932 – 1974
Mangkat: 1974 (umur 69)

5. Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’azzam Shah

Memerintah: 1974 – 2019

Baginda yang kegeringan menuruni takhta bagi memberi laluan kepada anakanda baginda, Tengku Mahkota Pahang untuk dilantik sebagai Sultan Pahang yang ke-6. Baginda kemudian diberi gelaran Seri Paduka Ayahanda. Ya Allah lanjutkanlah usia dan berilah kesihatan kepada Seri Paduka Ayahanda.

6. Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah

Memerintah: 2019 –

Daulat Tuanku

*gambar 1a ialah Sultan Ahmad al-Mu’azzam Shah (nombor 1) ketika usia tua.

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi negeripahang.com