Sejarah Makam Lubuk Pelang di Sungai Pahang

0
9592

Sungai Pahang merupakan sungai paling panjang di Negeri Pahang. Sungai Pahang mempunyai banyak kesan sejarah yang tersendiri. Makam Lubuk Pelang merupakan salah satu sejarah yang ada di Sungai Pahang. Makam ini terletak berhampiran Kampung Jerangsang.

Berhampiran dengan lubuk ini terdapat sebuah bukit tinggi dan di atasnya terdapat tiga makam yang berhampiran antara satu dengan lain. Tiga makam ini terletak di Sungai Pahang dengan dua daripadanya di hadapan dan satu di hujung kaki dua makam itu. Makam ini adalah Makam Sultan Abdul Jamil, Puteri Buluh Betung, Permaisuri baginda dan Datuk Budiman, adindanya.

Kemangkatan mereka bertiga ada kaitan dengan serangan Acheh dalam tahun 1617. Pada ketika itu Sultan Abdul Jamil, memerintah Pahang dan ada seorang batin di Sungai Tekam, kira-kira jarak 8 kilometer dari Lubuk Pelang telah mendapat seorang puteri yang berdarah putih dari dalam buluh betung yang diberi nama Puteri Buluh Betung.

Sebelum membuat penempatan di Lubuk Pelang, Baginda Sultan Abdul Jamil dan rombongannya memudik ke hulu Sungai Pahang dan berhenti di beberapa tempat terlebih dahulu. Oleh kerana kawasan itu sangat menarik pemandangannya dan strategik dari segi keselamatan, baginda telah membina istana di atas sebuah bukit. Sementara itu rombongan baginda memudik hingga ke Sungai Tekam mencari Batin. Kemudian mereka telah membawa Batin dan Puteri Buluh Betung ke istana dan dikahwinkan dengan Sultan Abdul Jamil.

Datuk Ahmad telah meneruskan perjalanan menghilir Sungai Pahang menuju ke Pekan dan seterusnya pergi ke Acheh dan menghadiahkan sehelai rambut Puteri Buluh Betung kepada Mahkota Alam Pemerintah Acheh ketika itu sempena ulang tahun keputeraan baginda. Akibat dari hadiah rambut Puteri Buluh Betung yang diberikan oleh Datuk Ahmad kepada baginda, Baginda Mahkota Alam tertarik dengan Puteri Buluh Betung dan datang ke Pahang untuk merebut tuan Puteri dari tangan Baginda Sultan Abdul Jamil.

Tiga pasang batu nisan turut dibawa oleh Baginda yang diperbuat daripada batu yang dipahat. Baginda Mahkota Alam turut berpesan jika baginda tewas dalam peperangan itu, hendaklah dimakamkan di Pahang dan usahlah dibawa balik ke Acheh. Batu nisan tersebut akan menjadi tanda supaya keturunan baginda dapat dikesan oleh kaum kerabatnya. Jika Sultan Abdul Jamil yang tewas baginda akan dimakamkan dengan batu nisan yang dibawanya.

Sultan Abdul Jamil telah tewas akibat dari peperangan dengan Sultan Baginda Mahkota Alam. Datuk Budiman juga turut terbunuh dan Puteri Buluh Betung mengambil keputusan untuk membunuh diri. Puteri Buluh Betung berpesan supaya dimakamkan di sisi Sultan dan Datok Budiman. Belumpun sempat Puteri Buluh Betung membunuh diri, telah berlaku pergelutan dan pedang Mahkota Alam dengan tidak sengaja telah menikam jantung puteri dan mengalirlah darah putih dari jantung Puteri Buluh Betung.

Jenazah Sultan Abdul Jamil dan Datuk Budiman pun dimakamkan berhampiran, dengan kepala mereka menghadap ke Sungai Pahang. Makam Sultan Abdul Jamil di sebelah kanan dan makam Datuk Budiman di sebelah kiri baginda. Manakala makam Puteri Buluh Betung dimakamkan di hujung kaki mereka. Ketiga-tiga makam ini menggunakan batu nisan dari Acheh yang telah dibawa oleh Mahkota Alam sewaktu peperangan merebut Puteri Buluh Betung dan kekal diabadikan sehingga kini.

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi negeripahang.com