Sejarah Masjid Negeri Sultan Ahmad 1

0
550

Masjid Negeri Sultan Ahmad I ini terletak di tengah-tengan Bandar Kuantan, ibu negeri Pahang. Terletak di Jalan Mahkota, masjid ini terletak di pusat bisnes yang sibuk. Di sekitar masjid ini terdapat bangunan-bangunan kerajaan, bank-bank dan kedai-kedai. Bersebelahan masjid ini ialah sebuah padang bola yang luas iaitu Padang MPK 1.

Masjid Negeri Sultan Ahmad 1

Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 sebenarnya dinamakan sempena nama Raja Bendahara Pahang Ke-6 dan merupakan pengasas Kesultanan Pahang Moden iaitu Duli Yang Maha Mulia Sultan Ahmad Al-Mu’adzam Shah. Masjid ini telah dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu’tasim Billah pada 28 Ogos 1964.

Namun, disebabkan jemaah yang semakin bertambah, Kerajaan Negeri memutuskan untuk membina masjid yang baharu bernilai RM37 juta dan telah diriasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah pada 21 Oktober 1994.

Dengan ketinggian menara masjidnya yang berukuran setinggi 180 kaki ia telah menjadi antara masjid yang terkenal. Masjid ini mampu memuatkan sekurang-kurangnya 10,000 orang. Masjid yang baharu ini mempunyai empat buah menara yang mempunyai purata ketinggian 180 kaki dan dibuat daripada marmar khas serta kini menjadi salah satu mercu tanda Bandar Kuantan.

Pembinaan masjid ini berdasarkan reka bentuk seni bina zaman Othmaniah, tetapi menggunakan bahan dan teknologi moden. Empat kubah separuh bulat diletakkan pada empat penjuru yang mengapit sebuah kubah utama yang mendominasi bahagian atas ruang utama solat.

Hiasan dalaman dan luaran masjid ini berdasarkan corak geometri. Jalinan-jalinan geometri telah digarap dengan begitu teliti hingga menjadikan ia sebuah masjid yang indah dan menarik. Cahaya biru dan putih daripada marmar yang bercorak, memberikan sinar yang mampu menggamit siapa sahaja agar berkunjung lagi ke masjid ini. Sinar biru dan kuning pada cermin kaca yang dipilih untuk tetingkap menambahkan lagi keindahannya. Asma’ al-Husna berbentuk khat memenuhi dinding masjid dan ayat-ayat al-Quran menjadi sebahagian hiasan dalam bangunan ini.

Empat menara masjid diperbuat daripada marmar khas yang berkilauan menaikkan seri masjid ini jika terkena limpahan cahaya lampu. Tambahan pula adunan warna putih yang terpapar daripada kilauan keempat-empat menara kubah tersebut bercampur dengan sinaran lampu kekuningan di bahagian hadapan masjid ini menambahkan lagi keanggunan Masjid Sultan Ahmad Shah.

Pembinaan masjid ini adalah hasil idea Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah. Warna biru dan hijau digunakan bagi mewarnai keseluruhan Masjid Negeri ini. Masjid ini juga mempunyai ruang halaman yang mewujudkan suasana keterbukaan dan mengimbangi keluasan masjid ini.

Masjid ini adalah antara tempat tarikan pelancong ke Kuantan.

Rekabentuknya elegan dan senibinanya halus. Kubah utama di kelilingi oleh minaret-minaret. Warna temanya ialah biru muda. Semestinya, Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1, Kuantan ini menjadi kebanggaan rakyat Pahang.

Sumber: Facebook Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 Kuantan
Sumber Gambar: Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP)

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi negeripahang.com