
Biarpun memegang tampuk sebagai negeri terbesar di semenanjung Malaysia, Pahang secara umumnya kekal sebagai negeri yang tenang dan bersikap low-profile. Jarang-jarang sekali kita mendengar kontroversi peringkat nasional dari negeri itu. Ia sebenarnya adalah salah sebuah negeri yang kaya dengan tarikan alam sekitar yang tersendiri. Bahkan Taman Negara Malaysia juga letaknya di negeri itu! Artikel ini membincangkan fakta-fakta sejarah yang menarik berhubungkait dengan negeri Pahang dan kami telah ringkaskan lima yang terbaik untuk anda!
Asal nama ‘Pahang’
Penceritaan turun-temurun mencadangkan asal nama Pahang diperoleh dari sebatang pohon Mahang yang amat besar di tebing Sungai Pahang. Besarnya pohon tersebut hinggalah ia jelas terlihat dari arah Laut China Selatan dan sering menjadi panduan kepada lanun-lanun laut masa lalu untuk merompak penduduk di negeri itu. Hinggalah untuk menyelamatkan rakyatnya, pemerintah Pahang pada satu ketika mengarahkan pohon tersebut ditebang. Tujuh Orang Asli terlibat dalam kerja-kerja penebangan itu dan akhirnya ketujuh-tujuh mereka meninggal dunia usai selesai urusan penebangan itu.
Kesultanan Pahang
Pahang kini padu dimpimpin Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’Ayatuddin Al-Mu’Adzam Shah. Baginda yang memegang tampuk pemerintahan semenjak 1974 sementelah kemangkatan bapanya, pernah bersekolah di Maktab Melayu Kuala Kangsar sebelum menerima diploma dalam bidang pentadbiran awam dari Worcester College, Oxford.
Bandar-bandar Utama di Pahang
Pahang terbahagi kepada 11 daerah semuanya iaitu Bera, Bentong, Tanah Tinggi Cameron, Jerantut, Kuantan, Lipis, Maran, Pekan, Raub, Rompin dan Temerloh. Ibu negeri Pahang ialah Kuantan yang juga memegang tampuk sebagai salah sebuah bandar terbesar di Pantai Timur semenanjung. Bandar tersebut didiami oleh lebih 610, 000 orang dan kekal sebagai pusat pentadbiran negeri sejak tahun 1955.
Orang Terkenal dari Pahang
Dengan budaya aslinya yang mempromosikan kesantunan dan kesenian yang tinggi, tidak hairanlah terdapat ramai individu terkemuka negara yang asalnya dari negeri ini. Selain Tun Abdul Razak dan Perdana Menteri Malaysia ketika ini iaitu Dato Seri Najib Razak yang berasal dari negeri itu, ia juga telah melahirkan beberapa tokoh seni terkemuka seperti Dato’ Siti Nurhaliza dan Allahyarham Sudirman. Dalam bidang sukan pula, nama-nama seperti Azizul Kamaludin, Wan Zack Haikal Wan Noor serta Mohd Azamuddin Md Akil tentunya tidak asing lagi kepada peminat tempatan.
Tarikan Pelancong
Sebagai negeri yang kaya dengan keindahan alam semulajadi, Pahang memiliki daya tarikan yang tersendiri sekaligus merancakkan industri pelancongannya. Di Kuantan, Teluk Chempedak menjadi destinasi kegemaran terutamanya untuk pelancong yang ingin beristirehat bersama keluarga. Genting Highlands dan Cameron Highlands pula ada tarikan mereka yang tersendiri khususnya bagi mereka yang ingin merasai suasana suhu dingin dan menenangkan.