Sejarah Sekolah Kebangsaan Clifford Di Kuala Lipis, Pahang

0
2739

Sekolah Kebangsaan Clifford

Sekolah Kebangsaan Clifford yang terletak di Kuala Lipis ini ditubuhkan pada tahun 1913. Ia merupakan Sekolah Inggeris yang tertua di Negeri Pahang. Pada permulaan sekolah ini dinamakan Sekolah Inggeris Kerajaan. Ia terletak di kawasan bandar Kuala Lipis. Bentuk sekolah ini asalnya adalah rumah kayu berbilik kecil dan beratapkan nipah. Seramai 12 orang murid telah diambil waktu mula-mula buka sebagai “ pioneer ” yang belajar di sekolah ini. Guru pertama sekolah ini bernama Tuan V.N. Berlett yang juga merupakan Guru Besar yang pertama sekolah ini. Beliau berasal dari negara Ceylon (Sri Lanka).

Sekolah Kebangsaan Clifford

Oleh kerana zaman yang semakin maju, pada tahun 1914 sekolah ini dibina lagi di belakang Balai Polis Daerah untuk menggantikan sekolah asal. Bentuk sekolah ini adalah rumah kayu dan boleh memuatkan lebih kurang 100 orang murid. Pada tahun 1919, sekolah ini dibina lagi untuk memuatkan lebih kurang 200 orang murid. Ia didirikan berdekatan dengan Sekolah Menengah Clifford sekarang. Semua murid telah diarahkan untuk berpindah dari sekolah lama ke sekolah baru.

Pada penghujung tahun 1926, kejadian banjir besar telah melanda Pahang dan turut memusnahkan bangunan tersebut. Selepas kejadian banjir besar tersebut, sebuah asrama telah dibina dan di bahagian bawahnya telah dijadikan bilik-bilik darjah. Pada tahun 1928, dua bangunan batu 2 tingkat yang baru telah dibina iaitu bangunan asrama Melayu (Malay Hostel) dan bangunan sekolah (blok E). Bangunan sekolah mempunyai 8 bilik kelas dan 4 bilik lain adalah sebagai gabenor rooms.

Malay Hostel (Asrama melayu) dan Blok E,adalah merupakan antara bangunan tertua di Sekolah Menengah Clifford dan di daerah Kuala Lipis, Kedua-dua bangunan ini telah diwarta sebagai bangunan bersejarah oleh muzium dan Arkid negara Malaysia.

Nama Sekolah Kebangsaan Clifford Diberikan

Terawal Sekolah Kebangsaan Clifford
Guru-Guru Terawal Sekolah Kebangsaan Clifford

Tuan Gabenor Negeri-negeri Selat merangkap Pesuruhjaya Tinggi Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Sir Hugh Clifford telah merasmikan bangunan tersebut. Pada tarikh perasmian tersebut juga nama asal Sekolah Kebangsaan Clifford iaitu Sekolah Inggeris Kerajaan telah dinamakan sebagai Sekolah Clifford. Pada tahun 1939, D.B.J.Ambler iaitu orang Inggeris pertama telah dilantik menjadi guru besar. Sekolah Clifford diberi nama sempena nama Tuan Sir Hugh Clifford yang pada masa itu menjadi Gabenor Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan beliau juga menjadi Residen yang pertama di Negeri Pahang.

Sekolah ini semakin maju dan jumlah muridnya semakin bertambah sehingga melebihi 1,000 orang murid pada suatu ketika. Oleh kerana masalah ini, pada tahun 1959 sekolah ini dipisahkan pelajarnya iaitu pelajar menengah dan rendah. Untuk sekolah rendah, sebuah sekolah dengan 15 bilik darjah telah siap dibina pada tahun 1959.

Pada masa pemerintahan Jepun, bangunan sekolah Clifford telah dijadikan markas polis askar Jepun (Kempitai). Persekolahan disambung semula pada tahun 1945. Sebaik-baik sahaja selepas hari kemenangan pihak Bersekutu dalam perang dunia kedua iaitu pada 15 September 1945, pihak berkuasa British Military Administration dengan segera membuka Sekolah Clifford dimana Tuan V.Rasiah telah menjadi pemangku guru besar.

Pada tahun 1946, C.M. Coats seorang yang berbangsa Australia telah mengambil alih pentadbiran sekolah. Pada tahun 1959, sekolah rendah dan menengah telah diasingkan apabila sekolah rendah mempunyai tapak dan bangunannya sendiri. Oleh itu semua bangunan yang ada pada ketika itu telah diserahkan kepada Sekolah Menengah Clifford.

Sekolah Kebangsaan Clifford
Lencana Sekolah Kebangsaan Clifford

Pada 13 Julai 1964 sekolah ini yang dikenali dengan nama Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Clifford, Kuala Lipis dibuka dengan rasminya oleh Kebawah DYMM Al-Sultan Sir Abu Bakar Ri’ayatuddin Al Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Almu’tasimbillah Al- Sultan Abdullah.

Encik Seow Bin Hak yang merupakan guru besar bagi tahun 1965-1967 telah berusaha untuk mendirikan dua buah pavilion bagi para tetamu untuk melihat program dan aktiviti yang dijalankan di padang. Perubahan besar telah dilakukan oleh Tuan Ketua Pelajaran Pahang ketika itu iaitu Dato’ Idris Babjee mengenai status sekolah. Sekolah Menengah Clifford telah diarahkan untuk menawarkan pelajaran tingkatan 3, 4 dan 5 dalam bahasa Inggeris dan tingkatan 4 dan 5 sahaja dalam aliran Melayu.

Sekolah Menengah Clifford sekali lagi dilanda banjir besar dengan teruk pada awal tahun 1971. Kerugian besar telah dialami oleh sekolah tersebut akibat dari banjir besar yang melanda. Di atas bencana banjir yang berlaku, Kementerian Pelajaran telah meluluskan pembinaan bangunan baru. Antara bangunan baru yang telah diluluskan ialah bangunan yang mengandungi 4 bilik darjah, 2 makmal sains dan perpustakaan, kantin, bengkel dan dewan.

Pada tahun 1991, satu blok bangunan yang mengandungi 16 bilik darjah yang turut mengandungi 1 blok makmal sains telah dibina.

Pada tahun 1997, satu sejarah telah tercipta dengan penubuhan Projek Sekolah Indera Shahbandar Pahang yang melibatkan murid sekolah rendah bermula dari tahun 4 sehingga tahun 6. Idea ini adalah saranan daripada Dato’ Seri Najib Tun Razak yang merupakan Menteri Pendidikan Malaysia pada waktu itu.

Baca juga : Najib Razak Sebagai Orang Besar Berempat Negeri Pahang

Kini Sekolah Menengah Clifford merupakan sebuah sekolah yang menawarkan 4 peperiksaan awam iaitu UPSR, PMR, SPM dan STPM. Sekolah ini adalah sebuah sekolah model khas dan sekolah premier bagi negeri Pahang dan daerah Lipis.

Pada 1 Januari 1970 sekolah ini telah ditukar nama dari Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Clifford kepada Sekolah Rendah Kebangsaan Clifford. Kemudian pada 1 Januari 1998 sekolah ini telah ditukar nama sekali lagi dari Sekolah Rendah Kebangsaan Clifford kepada Sekolah Kebangsaan Clifford, Kuala Lipis, Pahang Darul Makmur sehinggalah ke hari ini.

Sekolah Kebangsaan Clifford

Sekolah Kebangsaan Clifford

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi negeripahang.com