Songket Tenun Pahang dipercayai berasal dari Riau atau Sulawesi dan dibawa masuk ke negeri ini sekitar abad ke-16. Mengikut catatan sejarah, orang besar Makasar/Bugis diketuai Tok Tuan atau Keraing Aji berkunjung dan menetap di Kampung Mengkasar, Pekan. Beliau dikatakan bertanggungjawab memperbaiki cara menenun kain sutera tempatan ketika itu dan dikenali sebagai tenunan Pahang.
Reka corak dan ragam hias yang halus buatannya menghiasi kain Tenun Pahang. Reka corak tertentu pada kain atau tekstil menjadikan sebagai lambang darjat, identiti kaum, kepercayaan, ritual keagamaan dan sebagainya. Begitu juga keindahan kain Tenun Pahang yang tidak dapat dipisahkan dari reka corak asas yang tersendiri. Pelbagai motif, corak dan warna yang berlainan terdapat pada kain tenun Pahang.
Kain tenunan Pahang yang menggunakan teknik ikat dengan corak berjalur dan corak mendatar dan menegak sesuai dijadikan kain samping untuk melengkapkan pakaian baju melayu bagi kaum lelaki dan kain sarung atau baju pasang bagi wanita. Kebiasaannya kain tenun ini dijadikan pakaian pengantin. Sarung tenun bercorak pula dibahagikan kepada kain bercorak melintang, memanjang, corak Rawa atau Bugis dan corak Muar. Terdapat juga penggunaan benang emas yang menghasilkan motif garis halus atau kesan bunga-bunga kecil, bertabur menghiasi kain.
Jenis reka corak dan motif Songket Tenun Pahang seperti berikut
CORAK ASAS TENUN PAHANG
a) Corak Jalur Melintang atau Mengiring
b) Corak Jalur Menegak atau Berdiri
c) Corak Berpetak (Tapak Catur)
OLAHAN CORAK TENUN PAHANG
a) Corak Tubok Sekampung
b) Corak Selumbar Nibong
c) Corak Belah Buluh
d) Corak Beragi
e) Corak Tapak Catur Berlapis
f) Corak Beranak
g) Corak Seluang Mudik
h) Corak Bugis
i) Corak Pahang Jalur 7
j) Corak Jalur Melintang Di Tengah
CORAK BANGSAWAN
a) Corak Dato’ Mahmud
b) Corak Orang Kenamaan
c) Corak Datuk Bandar
d) Corak Tok Muda
e) Corak Tengku Ampuan
f) Corak Tun Razak