Sultan Ahmad Shah Mangkat

0
4490

Sultan Ahmad Shah Mangkat

AYAHANDA Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar kembali ke rahmatullah pada pagi Rabu. Almarhum mangkat pada usia 88 tahun, kira-kira pukul 8.50 pagi Rabu, bersamaan 17 Ramadan di hari Nuzul al-Quran.

Sementara itu di Kuantan, Wan Rosdy secara rasmi mengumumkan kemangkatan Sultan Pahang kelima, Sultan Haji Ahmad pagi tadi.

“Dengan penuh rasa kesedihan dan kesayuan, saya mengumumkan kemangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al Muadzam Shah pada pagi Rabu, 22 Mei bersamaan 17 Ramadan 1440 Hijrah.

“Sehubungan itu, saya mohon rakyat jelata sekalian agar sama-samalah mendoakan semoga roh almarhum Paduka Ayahanda dirahmati Allah SWT dan ditempatkan bersama-sama para syhuhada,” katanya.

Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah yang juga Sultan Pahang kelima, menyerahkan takhta kepada anakanda baginda, Tengku Abdullah, selepas memerintah negeri ini hampir 45 tahun. Baginda menyerahkan takhta kepada Al-Sultan Abdullah pada 12 Januari lalu.

Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah diputerakan pada 24 Oktober 1930 di Istana Mangga Tunggal, Pekan dan merupakan anakanda ketiga Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah dengan Almarhumah Tengku Ampuan Besar Pahang Raja Fatimah Sultan Iskandar Shah.

Almarhum dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang pada 7 Mei 1974, dua hari selepas kemangkatan ayahanda baginda, selain pernah beberapa kali dilantik sebagai Pemangku Raja Pahang pada tahun 1956, 1959 dan 1965 kerana sultan berada di luar negara.

Baginda dikurniakan gelaran Tengku Mahkota Pahang di Istana Seri Terentang, Pekan pada 25 Mei 1944 sebelum dimasyhurkan buat kali kedua pada 29 Mei 1949.

Baginda juga pernah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh bermula 26 April 1979 hingga 25 April 1984 dan pernah dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 21 September 1975.
Baginda mempunyai lapan anakanda iaitu Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Pahang Tengku Tan Sri Meriam, Tengku Puteri Seri Teja Pahang Tengku Datuk Muhaini, Tengku Puteri Seri Kemala Pahang Tengku Datuk Aishah, Al-Sultan Abdullah, Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman, Tengku Puteri Seri Bongsu Pahang Tengku Datuk Shahariah dan Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fahd Mua’adzam.

Tujuh daripada lapan anakanda itu merupakan cahaya mata perkahwinan baginda dengan Tengku Ampuan Pahang Tengku Afzan Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad yang mangkat pada 29 Jun 1988.

Almarhum kemudiannya bertemu jodoh dengan Sultanah Hajah Kalsom pada 14 Mac 1991. – Bernama

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi negeripahang.com