Tok Gajah atau nama sebenar beliau Imam Rasu bin Shahrum, juga dikenali sebagai Khatib Rasu dan Imam Perang Rasu ialah Orang Besar Raja Pahang dengan gelarannya ialah Orang Kaya Indera Gajah Pahang. Beliau juga merupakan penasihat utama Sultan Ahmad Muazzam Shah, Sultan Pahang dalam segala hal yang berkaitan dengan Hulu Pahang, iaitu kawasan-kawasan di hilir sungai dari Pulau Tawar. Tok Gajah juga merupakan ayah kepada Mat Kilau, pahlawan Melayu Pahang.
Beliau merupakan Orang Kaya Raja yang berkuasa dari kawasan Batu Redap sampai ke Kuala Piul, kawasan dari Tanjung Sakti sampai ke Kangsa, kawasan dari Pedah hingga ke Tanjung Lindung dan juga Lembahan Sungai Budu di Lipis. Kedudukan beliau setaraf dengan Orang Besar Empat di Pahang.
Tok Gajah juga merupakan ketua pasukan pemberontak dalam penentangan terhadap penjajah British dan Sultan, bersama Datuk Bahaman dan pejuang-pejuang sezamannya yang dipimpin oleh Tok Ku Paloh pada tahun 1893/1895. Tok Gajah sanggup menghadapi askar-askar British yang lengkap bersenjata ketika bertindak menghalau penjajah British yang hendak merampas pemerintahan negeri Pahang.
Bersama-sama dengan Datuk Bahaman, Datuk Lela dan Mat Kilau, Tok Gajah merupakan salah seorang pahlawan yang terlibat dalam mematahkan pemberontakan Pahang antara tahun 1891 hingga tahun 1895. Bersama dengan Wan Lingga, Tok Gajah telah diarahkan oleh Bendahara Wan Ahmad untuk menyerang Maharaja Perba dan Orang Kaya Setia Lela. Ini disebabkan perselisihan antara Maharaja Perba dengan Bendahara. Beliau pernah diutuskan ke Singapura bagi mendapatkan khidmat peguam sebagai penasihat Sultan Ahmad.
Selain itu, beliau juga berperanan dalam membantu perjuangan Dato Bahaman dalam menawan balai polis Lubuk terua yang berada di bawah kuasa British. Perjuangan untuk menawan balai polis Lubuk Terua turut dibantu oleh pembesar lain iaitu Imam Rasul dan Mat Kilau. Beliau turut serta melakukan penentangan ini kerana pembinaan balai polis di Lubuk Terua mencabar kuasa Dato Bahaman sebagai pembesar di Lubuk Terua. Hal ini demikian kerana pihak British tidak berunding terlebih dahulu dengan Dato Bahaman tentang pembinaan balai polis ini. Lebih-lebih lagi pembinaan balai polis ini juga di kawasan lingkungan pengaruh Dato Bahaman.
Peranan Tok Gajah juga terserlah dalam menawan Kuala Tembeling. Peristiwa ini bermula pada akhir 1892 apabila orang melayu Pahang di bawah pimpinan Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Tok Gajah di Pahang diusir keluar ke Hulu Kelantan. Pada Mei 1894, Mat Kilau dan Tok Gajah berpindah dari Hulu Kelantan ke Kuala Terengganu dan tinggal di Kampung Seberang Engku Ngah. Ketika di Kampung, Mat Kilau selalu berulang alik ke Kampung Paloh dan berjumpa Tok Engku Sayyid. Mat Kilau dan Tok Gajah membawa 100 pengikut untuk menyerang Inggeris di Kuala Tembeling dan mendirikan kubu di Jeram Ampai pada tarikh 14 Jun 1894.
Idea untuk menentang British secara besar-besaran antara salah satu peranan terpenting Tok Gajah. Sebelum melakukan penentangan ini, Tok Gajah mengadakan satu pertempuran dan dalam pertempuran itu, semua pembesar lain bersumpah menyatakan taat setia kepada Sultan Ahmad. Mengikut cadangan Tok Gajah, serangan akan dilaksanakan secara serentak. Dato Bahaman telah mengambil Semantan, Sultan Ahmad mempertahankan Chenor, Panglima Muda dari Jempul menawan Pekan, Mat Kilau dan Tok Raja akan menawan Kuala Lipis dan Raub sementara Tok Gajah sendiri akan ke Kuala Tembeling.
Tok Gajah juga berperanan dalam membantu Sultan Ahmad dalam perang saudara. Dalam Perang Saudara Sultan Ahmad menentang saudaranya Wan Mutahir. Tok Gajah membantu Sultan Ahmad dalam serangan tersebut dengan mengumpulkan hulubalang dan membina kubu. Beliau juga menggunakan pelbagai serangan. Walaubagaimanapun, Wan Mutahir mendapat bantuan daripada British. Sultan Ahmad berjaya dalam serangan tersebut dan atas taat setia dan baktinya, Tok Gajah dilantik sebagai Orang Besar Raja.
Wan Ahmad ibni al-Marhum Bendahara Tun Ali telah dilantik menjadi Bendahara Pahang pada tahun 1863M sebaik sahaja Perang Saudara tamat pada tahun 1863M, manakala Imam Perang Rasu pula dilantik kemudiannya oleh Bendahara sebagai Orang Besar Raja, menjaga kawasan Pulau Tawar (dahulunya dalam Ulu Pahang, tetapi kini dalam Daerah Jerantut).
Gelaran “Imam Perang Indera Gajah Pahang” telah dikurniakan oleh Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah (Pengasas Kesultanan Melayu Pahang Moden, 1882-1914M) kepada Imam Perang Rasu sesudah beliau menunjukkan kepahlawanannya dalam Perang Selangor (November, 1873M). Setelah itu, hubungan Tok Gajah-Sultan Ahmad bertambah intim, dan akhirnya Pahlawan Pahang ini menjadi “orang kesayangan istana”, serta penasihat tidak rasmi kepada baginda sultan, terutama mengenai hal-ehwal Ulu Pahang.
Pada tahun 1883M, Imam Perang Indera Gajah telah diamanahkan memerintah “Kg. Budu” oleh Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah (Sultan Pahang 1, 1882-1914M), mengambil alih autoriti pemerintah asalnya, Tok Kaya Teh@Wan Teh bin Tok Deris@Wan Deris (Orang Kaya Lipis Ke-12). Dalam hirarki politik tradisional Pahang, status dan pengaruh Tok Gajah sebagai Orang Besar hampir menyamai taraf Orang Besar Berempat Pahang.
Tok Gajah telah berkahwin beberapa kali. Isteri-isteri beliau antaranya yang dapat disebut : Iti, Cik Jebah (Kg Batu Naga, Budu), Teh Mahade binti Tok Kaut (Burau), Bedah, Mah, Cik Siti (Kuala Kenong) dan Tijah. Anak-anak Tok Gajah, antara yang dapat dicatatkan ialah Awang Baiduri (Ulu Jelai) hasil perkahwinannya dengan Cik Siti (Kuala Kenong), Mat Kilau, Teh De, Awang Nong, Teh Ibrahim, dan Yang Chik (hasil perkahwinannya dengan Teh Mahade). Perkahwinannya dengan Cik Jebah (Budu), Tok Gajah memperolehi 8 orang anak. Antara yang diketahui namanya ialah Abdul Rahman dan Mat Kahar. Anak-anak yang lain tidak diketahui namanya.
Tok Gajah mempunyai pengaruh yang luas, dan mempunyai pengikutnya sendiri. Beliau berjuang bersama-sama Dato’ Bahaman menentang penjajah British yang cuba menghuru-harakan sosio-politik tradisional di Pahang. Tok Gajah juga tidak terkecuali mempunyai hubungan yang begitu akrab dengan Dato’ Maharaja Perba Jelai Wan Muhammad bin Wan Idris (OKIMPJ Ke-6), tetapi kemudiannya mereka membawa haluan masing-masing kerana berbeza halatuju perjuangan. Dalam era British, bersama-sama Dato’ Bahaman, Mat Lela, dan Mat Kilau, Tok Gajah terlibat dalam pemberontakan Pahang (1891-1895M).
Pada penghujung tahun 1891, tanpa diketahui oleh pihak berkuasa British, Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah telah mengadakan “sumpah rahsia” di tepi Sg. Silan dengan Orang-Orang Besar penting Pahang : Dato’ OKIMPJ Wan Muhammad bin Wan Idris, Dato’ Bahaman, dan Imam Perang Indera Gajah. Dalam majlis sumpah rahsia inilah mereka mengetahui taktir kotor kolonial British yang akan mengambilalih pemerintahan Negeri Pahang, dan kemudiannya semua pembesar negeri akan dibersarakan, sama sekali tidak dibenarkan mencampuri hal-ehwal politik.
Pada tahun 1892, pihak British mengeluarkan perintah untuk menangkap Tok Gajah, lalu beliau melarikan diri ke Kuala Ampul (Kelantan), dan kemudiannya ke Seberang Engku Ngah (Kuala Terengganu). Bagi menyambung misi perjuangan anti-British, Tok Gajah bersama Dato’ Bahaman, Mat Kilau, dan Mat Kelubi pernah kembali ke Pahang, dan bertempur dengan pasukan British di Jeram Ampai (Sg. Tembeling), tetapi serangan mereka kecundang, lalu mereka mencari perlindungan di Ulu Lebir (Kelantan). Tok Gajah tidak dapat meneruskan perjuangan anti-British hingga akhir hayatnya pada tahun 1901.
Pada tahun 1892, pihak British mengeluarkan perintah tangkap ke atas Tok Gajah lalu memaksa beliau menyelamatkan diri ke Ulu Kelantan dan kemudian ke Hulu Terengganu sebelum meninggal dunia pada tahun 1901. Allahyarham Tok Gajah telah disemadikan di Kampung Pasir Nering, Kuala Brang (Ulu Terengganu).