Zainal Abidin Hassan – Lagenda Bola Sepak Pahang FA

0
671

Meskipun sekarang ini pencapaian bola sepak kebangsaan agak kurang memuaskan, namun tidak dapat dinafikan bahawa negara kita sentiasa mempunyai barisan pemain yang berbakat luar biasa dan mampu untuk berdiri setanding dengan pemain-pemain hebat dunia yang lain. Apa yang membezakan Malaysia dengan gergasi bola sepak dunia yang lain adalah dari segi pengurusan, mentaliti dan corak permainan kita sahaja. Tahukah anda bahawa satu masa dahulu, Malaysia pernah memiliki seorang pemain bola sepak yang agak luar biasa yang bermain untuk pasukan Pahang FA?

Beliau tidak lain dan tidak bukan adalah Zainal Abidin Hassan. Lagenda bola sepak pasukan Pahang FA dan juga Malaysia. Kelibatnya di padang senantiasa dinantikan dan menjadi igauan ngeri pasukan lawan. Beliau yang dilahirkan pada 9 November 1963 di Selangor merupakan seorang pemain yang mampu beraksi secara luar biasa di sebarang posisi dan pastinya pemain seperti ini merupakan pemain yang diimpikan oleh kebanyakan jurulatih. Pemain seperti Zainal Abidin Hassan dikenali sebagai pemain total (total player). Dalam dunia ini, hanya beberapa pemain sahaja yang boleh dikategorikan sebagai pemain total malah pemain terbaik dunia seperti Messi dan Ronaldo juga tidak boleh dikategorikan sebagai pemain total kerana mereka hanya boleh beraksi di mana-mana posisi serangan dengan efektif tetapi bukan di posisi pertahanan.

Fakta Menarik Mengenai Zainal Abidin Hassan
Beliau merupakan seorang yang sudah jelas kelihatan berpotensi untuk melakar nama dalam sukan bola sepak sejak awal penglibatan beliau lagi. Tapi, tahukah anda bahawa selain dari sukan bola sepak, beliau turut mempunyai bakat luar biasa dalam sukan lain? Beliau telah menerima anugerah sebagai pemain terbaik sukan sepak takraw peringkat MSSM suatu masa dahulu.

Namun begitu, bakat beliau dalam sukan bola sepak jauh mengatasi bakat beliau dalam sukan lain dan juga lapangan lain sekaligus membolehkan beliau melakar kejayaan dan menempa nama seperti mana yang kita ketahui pada hari ini. Beliau memulakan karier beliau sekitar tahun 1980. Ketika itu beliau dalam usia belasan tahun dan bermain untuk pasukan Selangor yang pada ketika itu merupakan antara gergasi besar bola sepak Malaysia dan Asia.

Pemain Sezaman Dengan Beliau
Jika seorang pemain luar biasa seperti beliau sudah mampu untuk menimbulkan rasa gerun terhadap pasukan lawan, bayangkan sekiranya terdapat beberapa pemain lain yang berbakat luar biasa seperti beliau turut berkongsi padang dalam satu pasukan yang sama. Pemain-pemain lagenda bola sepak tanah air seperti Santokh Singh, Mokhtar Dahari, Soh Chin Aun dan Arumugam merupakan antara pemain yang bermain bersama-sama dengan beliau pada usia muda beliau. Peluang bermain dengan lagenda-lagenda tersebut memberikan banyak manfaat buat beliau sekaligus membolehkan beliau untuk berkembang menjadi pemain yang sangat versatile.

Kejayaan Zainal Abidin Hassan
Pada awal karier beliau bersama pasukan Selangor, beliau telah berjaya membantu Selangor untuk menjuarai Piala Malaysia. Kemudian, beliau berhijrah ke pasukan Pahang FA dan membentuk gandingan duo luarbiasa dengan seorang lagi lagenda bola sepak iaitu Dollah Salleh. Walaupun beliau merupakan pemain kelahiran Selangor, tetapi tempohnya dengan pasukan Pahang FA telah banyak memberikan kejayaan buat pasukan seperti kejayaan double pada tahun 1992 dimana beliau telah membantu Pahang menjuarai liga dan juga Piala Malaysia.

Generasi emas pasukan Pahang FA yang dibarisi pemain seperti beliau dan juga Khairul Azman, Mubin Mokhtar, Alan Davidson, Dollah Salleh dan juga Fandi Ahmad sememangnya kekal menjadi antara generasi yang sukar untuk dicari ganti. Beliau menjadi pemenang kasut emas Liga M dan berjaya membantu Pahang untuk menjuarai liga dan turut memenangi Liga Perdana pada tahun 1995.

Mampukah untuk kita melihat seorang lagi pemain total seperti beliau dihasilkan atau berjayakah kita mendapatkan khidmat pemain total seperti beliau untuk bermain dengan Pahang FA? Walaupun beliau merupakan anak kelahiran Selangor, tetapi sumbangan beliau selaku pemain Pahang FA tidak dapat dinafikan dan berhak bagi beliau untuk memegang status lagenda Pahang FA.

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi negeripahang.com